MALAYSIA

Parlimen: Isu Memali, Saifuddin usul Takiyuddin digantung 6 bulan

Umavathi Ramayah 03/12/2025 | 06:15 MYT
Saifuddin Nasution, mencadangkan agar Takiyuddin, digantung selama enam bulan dari Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mencadangkan agar Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, digantung selama enam bulan kerana membuat dakwaan mengaitkan peristiwa Memali dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dua bulan lalu.

Cadangan penggantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat, Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen, dengan pelaksanaan berkuat kuasa dari tarikh usul diluluskan.

Semasa perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 pada Oktober lalu, Takiyuddin mendakwa Maritim Malaysia melakukan “serangan” di Masjid Kampung Rusila, Terengganu, dan menyatakan seolah-olah peristiwa Memali boleh berulang.

Saifuddin menegaskan, ucapan Ketua Whip Perikatan Nasional itu juga dianggap memberi imej negatif terhadap anggota Maritim Malaysia serta imej agensi itu sebagai penjaga keselamatan maritim negara.

"Bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan Ahli Parlimen Marang masing-masing pada 6 Oktober dan 13 Oktober lalu melalui pemakluman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pengetahuan bahawa kejadian tersebut adalah pelaksanaan Latihan Pelarian dan Pelolosan Kursus Asas Komando STAR Team oleh Maritim Malaysia.

"Kota Bharu (Takiyuddin) walaupun sebelum ucapannya di Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu telah mengetahui mengenai perkara di atas tentang kejadian tersebut merupakan satu pelaksanaan latihan dikendalikan oleh Maritim Malaysia di Masjid Rusila, namun telah membangkitkan mengenainya di dalam Dewan Rakyat pada 22 Oktober lalu dengan tidak memberi gambaran sebenar tujuan kejadian tersebut.

"Ucapan Kota Bharu tersebut juga telah mencalarkan imej Maritim Malaysia, malah anggota Maritim Malaysia yang didakwa terlibat dengan insiden tersebut mungkin (bersifat) menganiaya disebabkan oleh tuduhan tidak berasas ini," katanya dalam Aturan Urusan Mesyuarat itu.

Menurut usul tersebut yang memetik Saifuddin, dakwaan Takiyuddin seolah-olah menjejaskan martabat anggota Maritim Malaysia yang bertungkus-lumus menjaga perairan Malaysia daripada pelbagai ancaman, termasuk penyeludupan senjata, perikanan haram, pencerobohan kapal asing, pengedaran dadah dan lanun.




#Takiyuddin Hassan #Saifuddin Nasution #Maritim Malaysia #gantung parlimen