Parlimen: Kegagalan mencukupkan kuorum menghina Dewan

Astro Awani
September 22, 2021 16:43 MYT
Setiap ketua parti, gabungan dan Ahli Parlimen didesak supaya menjamin kehadiran sekurang-kurangnya 50 peratus Ahli Parlimen. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiap ketua parti, gabungan dan Ahli Parlimen didesak supaya menjamin kehadiran sekurang-kurangnya 50 peratus Ahli Parlimen serta tidak lagi sekalipun gagal mencapai kuorom 26 orang ahli pada satu sesi persidangan.
Demikian tegas Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional, yang menyatakan kekecewaan apabila sesi persidangan Dewan Rakyat pada selasa ditempohkan sementara bagi mencukupkan kuorum.
Badan tersebut menggambarkan tindakan 201 atau 91 peratus Ahli Parlimen yang tidak hadir sebagai satu penghinaan kepada dewan yang mulia serta mencemarkan imej selaku wakil rakyat yang memikul amanah berat daripada rakyat.
Mereka turut mempersoalkan sama ada laungan untuk membuka Parlimen sebelum ini ketika pelaksanaan darurat hanya sekadar retorik.
Tegas mereka, ketidakhadiran Ahli Parlimen juga memperlekehkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan yang mengangkat reformasi Parlimen.
Justeru, mereka mendesak supaya ketua parti, gabungan dan setiap Ahli Parlimen memastikan wujudnya penyelarasan dalaman dan antara parti yang boleh menjamin kehadiran di Parlimen.
Ia termasuk kehadiran sekurang-kurangnya 50 peratus ahli pada bila-bila masa semasa persidangan, kehadiran sekurang-kurangnya 50 peratus hari persidangan bagi setiap ahli parlimen dan tidak lagi gagal mencapai kuorom 26 orang ahli pada setiap sesi persidangan.
Kenyataan tersebut ditandatangani enam pertubuhan termasuk Bersih 2.0, Engage, Institute for Political Reform and Democracy (REFORM), Persatuan Pengundi Muda (Undi18), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Bait Al-Amanah.
#ahli Parlimen #kehadiran #Parlimen #Dewan Rakyat #Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional