KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,323 aduan transaksi secara dalam talian membabitkan pelbagai kesalahan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan 8,878 daripada aduan itu diselesaikan sementara 445 aduan lagi masih dalam siasatan.

Antara kesalahan yang paling banyak dilaporkan katanya, adalah  tidak menerima barang atau perkhidmatan yang ditawarkan, iaitu 5,700 kes, diikuti barang atau perkhidmatan yang diterima tidak seperti ditawarkan (1,631 kes) dan harga barang atau perkhidmatan mengelirukan (315 kes).

"Sementara itu 142 aduan lagi membabitkan barang tiruan dalam talian, cetak rompak dalam talian (30 aduan), skim piramid dalam talian (16 aduan) dan lain-lain (1,489 aduan),"  katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Robert Lawson Chuat (GBS-Bentong) berhubung tindakan KPDNHEP ke atas aduan transaksi atas talian di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit itu menegaskan kementeriannya memandang serius ke atas semua aduan transaksi atas talian yang dilaporkan.

Beliau memberi jaminan bahawa segala aduan pengguna akan diteliti bagi mengenal pasti sama ada berlaku kesalahan di bawah bidang kuasa yang dinyatakan dan pihak kementerian akan mengambil tindakan yang tegas terhadap peniaga atas talian yang melanggar perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai cadangan untuk penggubalan undang-undang baharu atau membuat pindaaan kepada akta sedia, beliau memberitahu, KPDNHEP bersedia untuk meminda atau mengubal undang-undang baharu dalam terus membantu dalam membangunkan peruncitan secara dalam talian.

"Kita sentiasa melihat kepada ruang dan peluang yang ada untuk membuat penambahbaikan, akta-akta yang ada mungkin sudah tidak cukup untuk membangunkan sektor transaksi dalam talian.

"KPDNHEP akan melihat kepada bagaimana membuat pindaan atau menggubal akta bagi untuk membantu membangunkan peruncitan transaksi dalam talian ini," tambahnya.

Dalam pada itu menjawab soalan asal berhubung jumlah pendaftaran perniagaan atas talian dan insentif yang ditawarkan kepada perniagaan kecil, beliau memberitahu, berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 297,894 perniagaan dalam talian yang aktif direkodkan sehingga 31 Ogos 2021 adalah entiti yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.