KUALA LUMPUR: Malaysia terpilih bagi menjalankan kajian klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 Sinovac keluaran syarikat China dengan sasaran kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kajian yang membabitkan 10 lokasi itu merangkumi lapan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bakal dimulakan hujung bulan ini.

Beliau memberitahu, kajian itu akan diselaraskan oleh Kajian Klinikal Malaysia (CRM) dengan penglibatan Institut Penyelidikan Klinikal.

"Beberapa sesi perbincangan telah diadakan oleh Kementerian Kesihatan dengan syarikat-syarikat pengeluar vaksin COVID-19 untuk mendapatkan status semasa dan data berkaitan keberkesanan serta keselamatan penggunaan vaksin bagi golongan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.

"Walaupun masih belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat-syarikat pengeluar vaksin COVID-19 setakat ini, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin (JKPCV), KKM sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas populasi tersebut berdasarkan bukti- bukti saintifik melalui kajian klinikal
atau Real World Data," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengenai kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Mengulas lanjut,  Aaron Ago memaklumkan beberapa kajian klinikal sedang dan telah dijalankan di peringkat global.

"Pada 20 September 2021 pihak Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal Fasa 3 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.

"Vaksin didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tindak balas antibodi peneutralan yang kuat. Seterusnya berdasarkan kenyataan media pihak Pfizer and BionTech pada 15 Oktober 2021, data kajian klinikal tersebut telah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan European Medicines Agency (EMA)," jelasnya.

Selain itu katanya, China telah meluluskan dua vaksin COVID-19 yang dihasilkan Sinovac Biotech Ltd. dan Sinopharm untuk penggunaan kecemasan untuk mereka berusia tiga hingga 17 tahun.

Menurutnya, kajian klinikal Fasa 1  dan 2 yang dijalankan oleh mereka mendapati vaksin tersebut selamat dan mampu merangsang tindak balas imun yang kuat di kalangan kanak-kanak dan remaja.