Parlimen: Pemilihan Timbalan YDP Dewan Rakyat ditangguh

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 25, 2021 03:44 MYT
Kerajaan kemuka usul menangguhkan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu seperti dalam giliran pertama usul-usul Aturan Urusan Mesyuarat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menangguh pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.
Usul penangguhan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Usul tersebut tersenarai dalam giliran pertama Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul hari ini.
"Bahawa menurut Peraturan 90(2) dengan persetujuan Yang di-Pertua saya kemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat seperti nombor 1 yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul hari ini ke mesyuarat akan datang," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut disokong oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian mengemukakan undi suara dan ia disokong secara majoriti oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Pada 14 September lalu, kerajaan turut mengemukakan usul sama.
Wan Junaidi kemudian menjelaskan alasan penangguhan ialah kerana pihaknya mahu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan bilangan Timbalan Speaker ditambah kepada tiga orang.
Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu adalah antara tumpuan persidangan Parlimen, hari ini, selepas Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada 23 Ogos lalu.

Kerajaan kemuka usul menangguhkan pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu seperti dalam giliran pertama usul-usul Aturan Urusan Mesyuarat.#AWANInews#SisiTVParlimen#DewanRakyat pic.twitter.com/t3crMZjLDv

— Astro AWANI (@501Awani) October 25, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Dewan Rakyat #tangguh lantikan #Timbalan Speaker Dewan Rakyat #Azalina Othman Said