Skip to main content

Malaysia

Parlimen perlu tinggalkan polemik lapuk, tumpu masa depan negara - PM Anwar

Perdana Menteri berkata tumpuan negara seharusnya terarah kepada teknologi dan inovasi, bukannya perdebatan berulang yang tidak membantu persediaan Malaysia menghadapi cabaran masa depan. - Bernama
Perdana Menteri berkata tumpuan negara seharusnya terarah kepada teknologi dan inovasi, bukannya perdebatan berulang yang tidak membantu persediaan Malaysia menghadapi cabaran masa depan. - Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbahasan di Parlimen yang masih berkisar mengenai persoalan siapa Islam, siapa tidak Islam dan siapa munafik sebagai terikat dengan kerangka pemikiran jumud, lapuk dan kolot.

Beliau berkata, ketika negara perlu memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan superkomputer, perbahasan di Parlimen dilihat masih tidak menjurus kepada pemikiran masa depan.

"Kalau lihat umpamanya perdebatan di Parlimen sekarang, dia bukan 'menggapai di langit', tak ada langsung.

"Perbincangan itu siapa Islam, siapa tak Islam, siapa munafik, siapa tidak. Masih lagi terikat dengan kerangka pemikiran jumud, lapuk dan kolot," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di ibu negara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, pembangunan negara memerlukan kesediaan generasi baharu dan pemain industri untuk berfikiran jauh ke hadapan, khususnya dalam meningkatkan keupayaan serta memodenkan sektor perindustrian.

Menurutnya, pendekatan lama tidak lagi boleh dijadikan asas untuk mengangkat martabat ekonomi negara, sebaliknya industri perlu bersedia menguasai bidang teknologi baharu.

"Kalau negara ini mahu dibangunkan, mesti ada kesediaan generasi baharu dan pihak industri untuk memikir ke depan.

"Industri mesti ditingkatkan keupayaan dan dimodenkan. Tidak boleh umpamanya nak angkat martabat ekonomi dengan pendekatan lama yang lapuk, sebab itu kita sebut 'menggapai di langit'," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian maju juga perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan identiti nasional, termasuk bahasa, budaya, adab dan nilai kemanusiaan.

Menurutnya, Malaysia tidak semestinya perlu mengikut budaya negara seperti Amerika Syarikat, Rusia atau China dalam mengejar kemajuan, sebaliknya perlu terus mempertahankan akar budaya serta menghormati sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kita mahu jadi negara maju dan industri, bukan semestinya kita jadi sepertimana budaya Amerika ke Rusia ke China, tidak. Kita nak pastikan akar kita itu di sini.

"Maka bahasa kita, budaya kita, adab kita, kemanusiaan kita, menghormati sentimen pelbagai kaum, pelbagai agama, kerana ini suatu keperluan. Satu imperatif yang tak boleh kita pertikai.

"Sebab itu kita kata, 'menggapai di langit tetapi juga mengakar ke bumi'," tambahnnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pencapaian eksport yang tinggi tidak seharusnya menyebabkan jurang ketidaksamaan terus melebar sehingga golongan miskin, termasuk di kawasan pedalaman Kelantan dan Kapit, Sarawak, terpinggir daripada arus pembangunan.

"Kita boleh bincang dan bicara soal memacu pertumbuhan, eksport yang tinggi, angka yang menakjubkan, tetapi kesenjangan dan inequality melebar.

"Kelompok miskin terpinggir sama ada di ulu Kelantan atau di Kapit, Sarawak terbiar, tidak boleh," jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Anwar menekankan keperluan negara mengambil pendekatan yang memberi tumpuan kepada langkah-langkah mengangkat ekonomi, selaras dengan prinsip 'menggapai di langit, tetapi masih mengakar di bumi'.

Must Watch Video

Advertisement