KUALA LUMPUR: Keupayaan dalaman Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerjasama dengan syarikat Aerospace Technology Systems Corporation Sdn Bhd membolehkan jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia diselenggara untuk tempoh dua tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata tidak dinafikan krisis Rusia-Ukraine secara tidak langsung memberi kesan kepada TUDM khususnya bagi mendapatkan komponen atau alat ganti pesawat itu.

"Bagaimanapun TUDM masih boleh dapatkan keperluan alat ganti tersebut dari Rusia melalui syarikat tempatan yang dilantik.

"Bukan semua penyelenggaraan harus ditampung syarikat dari Rusia itu sendiri, tetapi kita tahu keupayaan TUDM yang sebahagian daripada penyelenggaraan termasuk dalam bidang elektronik, kita punyai keupayaan dalaman," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin mengetahui apakah jaminan alat ganti pesawat Sukhoi Su-30MKM milik TUDM boleh didapati, memandangkan perang Rusia dan Ukraine dijangka berlarutan untuk jangka panjang.

Menurut Adly, Kementerian Pertahanan juga sudah berusaha mengenal pasti sumber alternatif bagi alat ganti berkaitan dari India.

"Sebab itu kalau kita lihat macam negara India, kita tahu India punyai jumlah pesawat melebihi 260 dan di situ ada alat ganti yang kita boleh dapatkan," katanya.

Selain itu, Adly berkata TUDM juga akan menggunakan aset dan alat ganti sedia ada bagi keperluan operasi semasa untuk pelan jangka pendek hingga krisis tamat.

"Pada masa ini, TUDM juga sedang melaksanakan program peningkatan keupayaan iaitu Program Pelanjutan Umur Perkhidmatan untuk pesawat Sukhoi ini bagi memastikan pesawat ini boleh digunakan secara optimum.

"Program peningkatan keupayaan ini bersesuaian dengan kebolehan dwifungsinya supaya pesawat ini kekal relevan bagi memastikan pertahanan dan kedaulatan negara terjaga," katanya.

-- BERNAMA