GEORGE TOWN: Polis menahan 20 individu termasuk tujuh wanita dalam serbuan parti liar di sebuah rumah di Taman Star Hill, Bukit Gambir di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Rahimi Ra'ais berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat bunyi muzik yang kuat di rumah banglo tiga tingkat itu.

Hasil pemeriksaan, beliau berkata, terdapat 13 lelaki dan tujuh wanita, berusia 17 hingga 25 tahun di kediaman tersebut.

"Semua mereka, yang bersahabat menempah banglo tersebut dengan kadar RM800 semalaman menerusi Facebook untuk berhibur, menghisap dadah dan berparti liar di situ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan semua yang ditahan merupakan pekerja kilang dan penghantar makanan.

Katanya dalam serbuan itu pihak polis turut merampas sejumlah dadah, kondom dan peralatan sistem audio.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati 12 lelaki dan lima wanita yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Kesemua mereka direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya dan Seksyen 12(3) serta Seksyen15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di Lumut, Perak, 16 individu dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), manakala seorang wanita warga Indonesia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata ketika serbuan kesemua individu yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan perempuan, berumur 19 hingga 48 tahun itu, didapati sedang menganjurkan parti pada pukul 1.15 pagi.

"Tindakan kompaun dikeluarkan ke atas 16 individu warga tempatan yang terlibat kerana menganjurkan aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial di bawah (Peraturan 16) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPN) 2021.

"Unit kondominium berkenaan disewa bermula semalam dengan harga RM350 untuk satu malam. Kesemua individu terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, seorang wanita warga Indonesia berumur 35 tahun, yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, ditahan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Nor Omar berkata hasil saringan awal ujian air kencing mendapati tiga lelaki dan dua perempuan daripada yang ditahan dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA