KUALA LANGAT: Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti politik perlu dilihat sekadar sebagai wadah atau pentas untuk berkhidmat kepada rakyat.
Katanya, penyatuan pemikiran, hati dan tindakan perlu menjadi asas utama dalam memastikan kemajuan sesebuah komuniti tanpa mengira latar belakang politik.
Menurut beliau, walaupun wujud perbezaan pendapat dan kecenderungan politik dalam kalangan masyarakat, perkara itu boleh diraikan selagi ia diuruskan dengan adab, akhlak dan semangat saling menghormati.
“Perbezaan-perbezaan politik... parti politik ini hanya sebagai pentas, sebagai satu wahana. Tetapi yang paling penting ialah penyatuan pemikiran, penyatuan hati dan penyatuan tindakan demi masa depan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-100 Kampung Jenjarom di Kuala Langat pada Sabtu.
Mengambil contoh kemajuan yang dikecapi Kampung Jenjarom, jelasnya ia membuktikan kejayaan masyarakat pelbagai latar belakang yang berjaya membina kehidupan bersama sejak kawasan itu diteroka kira-kira satu abad lalu.
"Generasi masa depan perlu terus mempertahankan nilai tradisi, budaya dan adab yang menjadi asas pembentukan masyarakat Nusantara, meskipun berdepan perubahan zaman," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan, keagamaan dan warisan budaya agar kesejahteraan masyarakat dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Dalam masa sama, beliau menyeru penduduk Kampung Jenjarom supaya terus memelihara semangat kebersamaan dan mengelakkan perpecahan yang boleh timbul akibat perbezaan pandangan atau fahaman politik.
Katanya, kekuatan sesebuah komuniti bukan terletak pada warna politik, sebaliknya keupayaan untuk bersatu dalam membangunkan kawasan dan menjaga keharmonian masyarakat.