PAS Labuan menggantung semua bentuk kerjasama dengan DAP Labuan berkuat kuasa serta merta, berikutan kenyataan terbuka parti itu yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Ketuanya, Amir Zahari kata kenyataan itu dengan tajuk 'Tujuh Fakta Mengapa Pakatan Tidak Mempunyai Masa Depan Dengan Hadi', dalam sebuah portal berita pada 22 Mac dan 'PAS khianati PKR pada pilihan raya umum lalu' diambil serius oleh PAS Labuan.

Penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP Zairil Khir Johari mendakwa langkah saat akhir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletakkan calon-calon dalam pilihan raya umum lepas menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang enam kerusi negeri - Sungai Acheh (Pulau Pinang), Kota Damansara (Selangor), Panti (Johor), Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang Takir (Terengganu).

Abdul Hadi juga dipersalahkan atas kekalahan Pembangkang bagi kerusi Parlimen Labuan, katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Zairil berkata langkah PAS untuk bertanding kesemua tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR adalah pengkhianatan yang jelas dilakukan dengan restu Abdul Hadi.

Amir berkata Zairil juga mendakwa Abdul Hadi memutuskan dalam watikah surat kuasa yang ditandatanganinya bahawa PAS bertanding tujuh kerusi.

"Ia adalah satu tuduhan tidak berasas kerana berdasarkan sistem PAS, semua calon mewakili parti itu akan menerima surat kuasa yang ditandatangani oleh setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali dan bukan oleh presiden."

Amir menegaskan bahawa kerusi Labuan telah menjadi kerusi Parlimen yang secara tradisinya diperuntukkan kepada PAS sejak tahun 1999 dan ia telah dipersetujui oleh Pakatan Rakyat.

"Oleh itu, PAS Labuan menggesa beliau untuk menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam selepas kenyataan ini dibuat atau disiarkan. Jika dia gagal berbuat demikian, kita akan meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya.

"Langkah untuk menggantung hubungan kita dengan DAP Labuan adalah satu pendekatan untuk menunjukkan pendirian kami terhadap tindakan yang diambil oleh pemimpin parti itu," katanya.