MALAYSIA

Pas My50 boleh diaktifkan secara digital mulai 1 Julai

Yasmin Natasha 26/06/2025 | 04:35 MYT
Menteri Pengankutan, Anthony Loke (tengah) ketika merasmikan pendigitalan My50 di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Pas perjalanan tanpa had (My50) bagi pengguna pengangkutan awam boleh diaktifkan secara digital melalui aplikasi Touch ’n Go (TNG) eWallet bermula 1 Julai ini.

Ringkasan AI
  • Pas My50 boleh diaktifkan secara digital melalui aplikasi Touch n Go eWallet bermula 1 Julai, selaras dengan usaha kerajaan memperluas penggunaan sistem tanpa tunai dan meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam.
  • Pengguna perlu pautkan kad TNG fizikal ke aplikasi dan pastikan baki minimum RM5 untuk digunakan; warga emas dan pengguna tanpa eWallet masih boleh memperbaharui pas secara fizikal di kaunter.
  • Menteri Pengangkutan yakin inisiatif pendigitalan ini akan mengurangkan kesesakan di kaunter dan merupakan langkah berterusan kerajaan serta Prasarana dalam mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperluaskan penggunaan sistem tanpa tunai dan mempertingkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam di negara ini.
“Prasana telah mengeluarkan kos sebanyak RM2.7 juta untuk projek ini bagi memudahkan pengguna.
“Sekarang, kita ke fasa lebih digital yang semakin berkembang dan mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pembayaran agar pengguna mendapat manfaat yang lebih besar,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.
Tambahannya, untuk mengaktifkan pas My50 secara digital, pengguna perlu memautkan kad TNG fizikal mereka kepada aplikasi TNG eWallet, dan perlu mempunyai baki minimum RM5 apabila digunakan untuk sebarang perkhidmatan RapidKL.
Walau bagaimanapun, bagi pengguna pengangkutan awam atau warga emas yang belum biasa dengan aplikasi atau tidak mempunyai eWallet, mereka masih boleh memperbaharui atau mengaktifkan pas My50 seperti biasa menggunakan MyKad sedia ada dan hadir ke kaunter untuk urusan tersebut.
“Saya yakin selepas ini tiada lagi isu ataupun situasi pelanggan terpaksa beratur lama.
“Saya percaya bahawa inisiatif pendigitalan My50 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan bersama-sama dengan Prasarana untuk
mempertingkatkan kemudahan serta pengalaman pengguna pengangkutan awam di negara kita,” ujarnya lagi.
#My50 #Anthony Loke #TnG eWallet #prasarana