PAS ulangi pendirian laksana hukum Hudud

Astro Awani
November 15, 2012 07:19 MYT
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) hari ini mengulangi pendirian mereka untuk melaksanakan hukum hudud, biarpun mendapat tentangan daripada rakan dalam pakatan pembangkang.
Perkara itu ditegaskan oleh ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib, atas alasan hukum hudud adalah dasar utama PAS.
Harun berkata demikian sebagai mengulas tentangan yang diterima daripada pengerusi DAP, Karpal Singh.
Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, beliau berkata perkara berkenaan sudah dibincangkan dan dipersetujui dengan DAP.
“Karpal Singh tu dia tak sempat ikut dialog-dialog dan penjelasan yang dibuat oleh PAS, sebab kita tak ada masalah dengan DAP.
“Sebelum Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan pun DAP selalu berdialog dengan kita tentang undang-undang jenayah syariah tetapi Karpal tak sempat hadir mungkin dia uzur,” kata Harun dalam sidang media pada Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat.
Sebelum itu, Harun Taib dalam ucapannya di perasmian dewan tersebut juga telah menegaskan bahawa perjuangan PAS dalam menegakkan hukum hudud akan tetap diteruskan.
Keutamaan sama diberikan kepada agenda penubuhan negara islam.
Naib ketua dewan ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad ketika membacakan teks ucaptama ketua dewan ulama, menjelaskan agenda penubuhan negara Islam juga merupakan agenda asal parti itu yang perlu diperjuangkan.
Katanya lagi, pada masa ini timbul kecelaruan di kalangan Ahli kerana merasakan bahawa isu hudud tidak perlu dibicarakan dalam era tahaluf siayasi (kerjasama politik) susulan pelbagai pandangan dan lontaran idea dari luar parti.
Beliau menegaskan "kecelaruan pemikiran" tersebut timbul kerana kegagalan mereka untuk mengikuti tarbiyah daripada parti itu.
Bahkan, menurut beliau ada dikalangan ahli PAS yang mengatakan hudud tidak perlu dilaksanakan lagi, sedangkan matlamat asal perjuangan PAS ialah melaksanakan hukum Allah itu.
Katanya ahli PAS perlu sedar bahawa perjuangan dan agenda parti adalah menubuhkan sebuah negara Islam.
#Datuk Harun Taib #Dewan Ulama PAS #hudud #Muktamar PAS Pusat 2012 #PAS