Pasangan suami isteri yang dituduh menanam anak lelaki mereka di dalam simen lantai dapur rumah mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Selayang esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abu Samah Mat memberitahu bahawa bapa berusia 33 tahun itu akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala isterinya akan didakwa di bawah seksyen 201 kerana cubaan melenyapkan bukti perlakuan jenayah.

Menurutnya, siasatan kes tersebut telah selesai sepenuhnya dan kini terpulang kepada pihak pendakwa untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Mayat kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun itu ditemui oleh seorang kontraktor ketika mahu memulakan kerja-kerja pengubahsuaian selepas pasangan itu mengosongkan rumah berkenaan April lalu.

Pasangan itu ditahan di Sabah minggu lalu.