MALAYSIA

Pasangan kekasih didakwa rompak barang kemas RM5.755 juta

Bernama 30/10/2025 | 06:07 MYT
Mahkamah tidak benarkan jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Nov. -Gambar hiasan
PASIR MAS: Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan merompak barang kemas di sebuah kedai pajak gadai dianggarkan bernilai RM5.755 juta, minggu lepas.


Ringkasan AI
  • Sepasang kekasih didakwa merompak barang kemas bernilai RM5.755 juta di kedai pajak gadai, masing-masing mengaku tidak bersalah.
  • Wee Chin Ooi didakwa menggunakan pisau dalam rompakan, manakala Wee Fei Fang dituduh bersubahat; mahkamah tidak benarkan jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Nov.
  • Ketua Polis Kelantan sahkan kedua-dua suspek termasuk pengurus kedai dipercayai dalang rompakan melibatkan 10.9 kilogram barang kemas.


Wee Chin Ooi, 49, dan Wee Fei Fang, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Chin Ooi didakwa merompak barang kemas itu dengan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di sebuah kedai pajak gadai di sini pada 1 tengah hari 21 Okt.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh disebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Fei Fang didakwa bersubahat dengan teman lelakinya melakukan rompakan itu di lokasi serta pada masa dan tarikh sama, dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 dibaca bersama-sama Seksyen 397 dan Seksyen 109 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala peguam M.K Maalinn mewakili pasangan tersebut.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Nov untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan polis menahan seorang pengurus kedai pajak gadai dan teman lelakinya kerana dipercayai menjadi dalang rompakan barang kemas seberat 10.9 kilogram.

-- BERNAMA


#rompak barang kemas #kedai pajak gadai #Wee Chin Ooi #Wee Fei Fang #Polis Kelantan