MALAYSIA
Pasangan kekasih disyaki tokan dadah, polis rampas dadah lebih RM700,000

Naazron (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Rabu. - Gambar Sinar Harian
KAJANG: Polis menahan tiga individu termasuk pasangan kekasih yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM757,760 dalam dua serbuan berasingan di sini pada 21 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata dalam serbuan pertama pada pukul 5 petang di sebuah rumah di sini, pihaknya menahan pasangan berkenaan iaitu seorang wanita berusia 34 tahun dan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki menjadi tokan dadah.
"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis berjaya merampas empat bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 364 gram bernilai kira-kira RM700," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Susulan penahanan itu, polis melakukan satu lagi serbuan pada pukul 9 malam terhadap sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran sebuah taman perumahan di situ dan menahan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun bersama tiga bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 235 gram bernilai RM500."Hasil soal siasat, lelaki itu membawa polis ke sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan bekalan dadah dan pihak polis berjaya merampas 22.2 kilogram ganja, 3.35 kilogram pil ekstasi, 267 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 34 gram ketamin.
"Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC)."
Naazron berkata kedua-dua lelaki terbabit telah dituduh di Mahkamah Kajang semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek wanita telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami