Pasangan kekasih ditahan dera bayi 10 bulan

Astro Awani
Disember 24, 2017 08:12 MYT
Pasangan kekasih ditahan kerana mendera seorang bayi berusia 10 bulan. - Ihsan PDRM
Lagak seorang lelaki dipercayai mahu mempertahankan seorang bayi berusia 10 bulan akibat didera dengan membuat laporan polis akhirnya memerangkap diri apabila dia ditahan polis semalam bagi membantu siasatan.
Turut ditahan bersama suspek adalah kekasihnya yang juga ibu kepada bayi perempuan malang berkenaan selain ditahan secara berasingan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan anak keempat suspek wanita bersama bekas suami.
Menurutnya, sehari sebelum laporan polis dibuat, mangsa dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya pada pukul 7 pagi dan diambil semula pada pukul 2.30 petang.
"Bagaimanapun, pada pukul 7 malam, ibu mangsa telah menelefon suspek dan memberitahu bayi malang itu muntah-muntah dan terdapat kesan darah pada lampin selain dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Dzaffir berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan doktor di HKL mendapati beberapa kesan penderaan yang lain pada tubuh badan mangsa.
Menurutnya, terdapat kesan lebam pada bahagian perut, belakang badan, telinga dan kepala selain terdapat pendarahan pada bahagian kemaluan mangsa.
"Hasil pemeriksaan doktor dapati selaput dara mangsa masih tidak kecederaan pada bahagian kemaluan mangsa dan kesan lebam pada badan mangsa adalah dipercayai kesan penderaan.
"Mangsa dan dua orang lagi adik beradiknya kini dirawat di HKL," katanya yang memberitahu, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#10 bulan #Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof #bayi perempuan #dera #Ketua Polis Daerah Kajang #pasangan kekasih #polis