MALAYSIA

Pasangan kekasih tular langgar polis didakwa di mahkamah

Sinar Harian 01/08/2025 | 08:04 MYT
Pasangan kekasih yang tular lari dari polis dengan membawa dadah dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Pasangan kekasih yang tular kerana melarikan diri daripada polis bersama dadah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 15.06 gram.


Ringkasan AI
  • Pasangan kekasih didakwa mengedar heroin seberat 15.06 gram di Melaka dan berdepan hukuman gantung atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Mereka turut dituduh menghalang tugas penjawat awam dan mencederakan anggota polis, selepas melarikan diri sejauh 13 kilometer dalam kejadian tular yang melibatkan kejar-mengejar dengan polis.
  • Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 9 September 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara laporan kimia masih belum diperoleh dan pasangan belum diwakili peguam.


Bagaimanapun, Ahmad Ramdzan Mohamed, 26, yang juga seorang penganggur dan Farah Amira Mohamad Ali, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan mengedar dadah berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa mengedar dadah disyaki mengandungi heroin seberat 15.06 gram di tepi jalan simpang Jalan Teruna 1, Taman Bukit Rambai, di sini kira-kira jam 6 petang pada 22 Julai lalu.

Pasangan itu berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali sebatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK), jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Zaidi Tahir memaklumkan bahawa laporan kimia masih belum diperoleh dan tidak menawarkan sebarang jaminan manakala pasangan terbabit juga tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 9 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Dalam prosiding sama, mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam iaitu dua anggota polis lelaki ketika menjalankan pemeriksaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.02 petang di Blok C, Pangsapuri Anika, Lorong Pandan, Melaka, pada tarikh yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Ramdzan turut didakwa secara berasingan atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis lelaki ketika menjalankan tugasnya sebagai penjawat awam di lokasi dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan. Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua kesalahan tersebut.

Mahkamah turut tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin atas faktor mereka telah dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952.

Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan seorang anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berpangkat Lans Koperal dilanggar ketika mengejar pasangan kekasih berkenaan yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian di Bukit Rambai.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang yang tular di media sosial itu, pasangan yang menaiki Perodua Myvi dipercayai enggan memberikan kerjasama sebelum dikejar lima unit kereta peronda (MPV) dan URB sejauh kira-kira 13 kilometer bermula dari Pangsapuri Taman Anika hingga ke Bukit Rambai. -- Sinar Harian




#pasangan kekasih #langgar polis #didakwa edar dadah #Mahkamah Majistret Melaka