Pasangan pengantin baharu buat majlis kenduri kahwin di pasar tani

Salim Aziz
November 22, 2020 08:22 MYT
Ibu pengantin perempuan memberikan makanan secara berbungkus kepada tetamu. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Sepasang pengantin baharu dari Kampung Alor Keladi, Langgar memilih untuk mengadakan majlis kenduri kahwin mereka di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini bagi meraikan pengunjung dan rakan-rakan peniaga.
Nur Syuraya Ramli, 21, berkata majlis terbabit mula dirancang selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kedah.
Katanya, majlis akad nikah bersama pasangannya Muhd Safuan Muhd Azli, 25, telah selamat diadakan pada Jumaat lalu di Masjid Padang Petani beserta kenduri kecil-kecilan di rumah untuk sanak saudara.
"Disebabkan perlu menjaga SOP (prosedur operasi standard) termasuk menghadkan jumlah tetamu jadi kami sekeluarga tidak dapat menjemput rakan-rakan di pasar tani.
"Jadi kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis kedua di sini termasuk memakai pakaian pengantin untuk menghidupkan suasana majlis perkahwinan," katanya.
Menurut Nur Syuraya, bapanya Ramli Ahmad 51, merupakan peniaga air di pasar tani berkenaan lebih 20 tahun lalu dan ia sekaligus menyebabkan hubungan sesama mereka sangat akrab.
"Peniaga di sini sudah seperti keluarga kami, sebab itu terasa ralat kalau mereka tidak ada bersama-sama di hari bahagia saya dan suami," katanya lagi.
#perkahwinan #kahwin #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan #Majlis kahwin #SOP #PKPB #pasar tani #COVID-19