[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Pasangan suami isteri didakwa tipu bekalan makanan lembu ke Iran

Bernama 17/12/2025 | 08:15 MYT
Pasangan tersebut didakwa memperdaya syarikat itu untuk membayar jumlah 105,295 euro sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus bagi pembekalan makanan lembu ke Iran. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu sebuah syarikat berhubung pembekalan makanan lembu ke Iran membabitkan kerugian lebih RM400,000.


Ringkasan AI
  • Pasangan suami isteri, Heng Vie Yet dan Wong Hun Boon, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh berhubung pembekalan makanan lembu ke Iran dengan kerugian melebihi RM400,000.
  • Pasangan tersebut didakwa memperdaya syarikat tersebut untuk membayar jumlah 105,295 euro sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus bagi pembekalan makanan lembu ke Iran.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 dengan syarat pasangan tersebut perlu melapor diri di balai polis setiap sebulan sehingga kes selesai, dengan sebutan kes semula pada 23 Januari depan.


Heng Vie Yet dan suaminya, Wong Hun Boon, masing-masing berumur 51 tahun, didakwa bersama-sama menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh dengan memperdaya untuk mempercayai bahawa syarikat Stillwater Venture Sdn Bhd boleh membekalkan 85 metrik tan makanan lembu ke Iran.

Perbuatan pasangan itu yang merupakan pengarah syarikat Stillwater Venture itu telah mendorong syarikat terbabit menyerahkan sejumlah 105,295 euro (RM488,197.60) ke dalam akaun bank atas nama syarikat Stillwater Venture sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus, syarikat tersebut tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama di sini antara 1 Julai 2024 hingga 12 Dis 2024, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zul Hilmi Latif memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh manakala pasangan itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan mereka tidak mampu membayar wang jaminan selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jan depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA






#pasangan suami isteri didakwa #makanan lembu #Iran #Stillwater Venture