MALAYSIA

Pasangan suami isteri dipenjara kerana mencuri

Bernama 04/07/2025 | 09:15 MYT
Jasila (tengah) yang sedang mengandung dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang wanita hamil lima bulan dan suaminya dihukum penjara dalam tiga prosiding mahkamah berbeza atas kesalahan menyamun, mencuri dan melupuskan harta curi.


Ringkasan AI
  • Wanita hamil lima bulan dan suaminya dijatuhi hukuman penjara dalam tiga prosiding berasingan atas kesalahan menyamun, mencuri dan melupuskan harta curi, termasuk rantai tangan emas dan barangan inap desa.
  • Jasila Jamaruddin dihukum penjara tiga tahun, manakala suaminya Muhammad Alif Aiman Zaini menerima hukuman penjara satu tahun dan lima bulan, dengan kesalahan dilakukan antara April dan Mei 2025 di Melaka dan Selangor.
  • Pasangan ini merayu hukuman diringankan kerana wanita sedang hamil dan mempunyai empat anak kecil, namun mahkamah menolak rayuan dan memutuskan hukuman setimpal atas kesalahan serius yang dilakukan.


Di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Jasila Jamaruddin, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyamun dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditahan, iaitu 10 Jun lepas.

Jasila didakwa merompak dengan cara merampas seutas rantai tangan emas bernilai RM12,000 daripada seorang wanita berusia 42 tahun di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, Melaka Tengah pada 28 Mei lepas, kira-kira 11 pagi.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, tertuduh dan suaminya Muhammad Alif Aiman Zaini, 24, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas mereka mengaku bersalah menerima dan melupuskan harta curi.

Mereka didakwa menjual seutas rantai tangan emas tersebut di sebuah kedai pajak di Jalan Kiara Semenyih, Hulu Langat, kira-kira 4 petang pada hari kejadian ( 28 Mei).

Pasangan itu juga dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Uthman Abdul Ghani, secara niat bersama mencuri harta, iaitu kad akses pintu dan lif, sebuah televisyen LED, box android Xiaomi, seterika, pemanas air, selimut dan bantal di sebuah inap sewa di Atlantis Residence Tower, Kota Laksamana pada 26 April lepas.

Barangan yang dicuri dianggar bernilai RM1,100 dan kedua-dua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan atas alasan wanita itu sedang hamil lima bulan dan mempunyai empat anak yang masih kecil yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

-- BERNAMA



#wanita hamil #pasangan suami isteri #Mencuri #dipenjara #mahkamah sesyen ayer keroh