Pemilik pasar raya atau pusat beli belah di negeri Kedah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan kanak-kanak dan orang tua dibawa masuk akan diarah menutup operasi premis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata demikian selepas mendapat banyak laporan berkaitan orang awam dibenarkan berpusu-pusu memasuki pusat beli belah dan tidak menjaga penjarakan sosial.

Beliau berkata pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan untuk memantau semua lokasi yang menjadi tumpuan awam di negeri ini, terutamanya di pasar raya.

Jelas Zainuddin, menjelang Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut umat Islam Ahad ini, beliau akan menempatkan anggota PDRM bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi.

"Kalau ikut SOP tidak dibenarkan membawa anak-anak kecil. Orang Kedah harus diingat bahawa anak-anak kecil dan juga orang orang berumur sangat terdedah pada jangkitan ini dan mereka sangat fragile.

"Orang muda mungkin mempunyai imuniti dan metabolisme yang tinggi, tapi orang tua dan kanak-kanak ini sangat bahaya.

"Jadi jangan kita buat tak endah tak endah bawa anak ke tempat tempat awam, tolong kurangkan.

"Kalau boleh jangan benarkan anak-anak kita ataupun kita sendiri bawa anak-anak kita ke tempat awam," katanya.

Tegas beliau, PDRM akan turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan larangan itu dipatuhi.