Pasaran hartanah Sabah dijangka pulih tahun depan - Kajian

Bernama
Oktober 11, 2020 20:55 MYT
Harga hartanah Sabah dijangka susut 7.4 peratus pada tahun depan sebelum meningkat semula 9.4 peratus pada 2022. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kalangan ejen hartanah mengunjurkan pasaran hartanah Sabah mencatat pemulihan lekuk V yang ketara seawal 2021 dan berterusan pada tempoh-tempoh berikutnya.
Laporan Tinjauan dan Indeks Hartanah Sabah Juwai IQI Bagi Suku Keempat (Q4) 2020 turut mengunjurkan harga dan sewaan kediaman di Sabah akan menjejaki trend nasional dengan pembeli rumah pertama menjadi pemacu aktiviti tersebut.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata syarikat itu mendapati berbanding trend di peringkat nasional, Sabah sebaliknya mempunyai lebih banyak golongan pembeli pertama serta pembeli tempatan lain namun kekurangan pelabur tempatan dan pembeli asing.
Adalah dianggarkan 39 peratus daripada transaksi rumah baharu di Sabah bagi separuh pertama 2020 membabitkan kalangan pembeli rumah pertama negeri itu berbanding 34 peratus di seluruh negara.
Kelompok pembeli tempatan lain pula merangkumi 27 peratus daripada transaksi rumah baharu Sabah berbanding 25 peratus di peringkat seluruh negara.
"Ini satu petunjuk positif kerana menggambarkan bahawa pembeli rumah pertama ini sudah memasuki pasaran Sabah pada kadar jauh lebih pantas berbanding pembeli dan pelabur asing.
"Sebanyak 63 peratus ejen harta tanah menjangkakan pembeli pertama tempatan ini dapat mencatat jumlah transaksi lebih tinggi di Sabah pada tahun-tahun mendatang," katanya kepada Bernama.
Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada unjuran di peringkat nasional yang mencecah 58.7 peratus.
Menurut laporan itu, walaupun pembeli pertama itu merangkumi 28 peratus daripada transaksi pembelian rumah baharu di Sabah bagi suku pertama 2020, angka tersebut meningkat kepada 39 peratus pada suku ketiga iaitu hampir dua bagi setiap lima transaksi.
Pembeli pertama adalah satu-satunya kumpulan pembeli yang diunjur mencatat lebih banyak transaksi belian pada tahun akan datang.
Selain itu, kalangan ejen juga menjangkakan harga hartanah Sabah akan susut 7.4 peratus pada tahun depan sebelum meningkat semula 9.4 peratus pada 2022.
Mereka juga mengunjurkan harga di peringkat kebangsaan susut 4.8 peratus tahun depan sebelum pulih pada 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 10.6 peratus.
Dalam pada itu, sewaan kediaman di Sabah dijangka susut lebih dua kali ganda berbanding peringkat kebangsaan dan negeri itu dijangkakan mengalami penurunan sewaan sebanyak 7.4 peratus berbanding 4.8 peratus di peringkat nasional.
Namun pada 2022, sewaan di peringkat nasional diunjur menokok 10.6 peratus manakala di Sabah dijangka meningkat 9.4 peratus.
Selain itu, Kashif berkata di sebalik cabaran dihadapi pasaran hartanah, faktor COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbukti telah mengubah tanggapan orang ramai mengenai bagaimana serta lokasi kediaman mereka.
"Hakikat bahawa pembeli pertama tempatan bertindak meningkatkan bahagian mereka dalam urus niaga hartanah membuktikan minat serta keinginan untuk memiliki kediaman dan berasa selamat.
"Ia juga menunjukkan bahawa pakej rangsangan kerajaan untuk menyokong kumpulan ini terbukti berkesan. Kerajaan telah memudahkan lagi usaha pembeli pertama ini memiliki rumah sendiri menerusi pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC)," katanya.
Menurut Kashif, faktor pandemik itu serta kesukaran ekonomi turut memberi peluang kepada kalangan pembeli rumah pertama merealisasikan impian mereka pada harga lebih rendah selain mendapat ganjaran lain ditawarkan pemaju yang memberi kelebihan dari segi nilai tambah.
Laporan indeks itu menjejaki unjuran industri untuk harga, penyewaan dan aktiviti pasaran berkaitan.
Ini merupakan laporan industri pertama berdasarkan pengetahuan pasaran membabitkan 344 ejen hartanah yang menyertai tinjauan tersebut.
Juwai IQI mengendalikan hartanah jenama super Asia, IQI dan Juwai Ltd, khusus bagi membolehkan penduduk rantau ini Asia menjadi pembeli hartanah global.
IQI merupakan rangkaian hartanah di Asia Tenggara dan Timur Tengah dengan jaringan lebih 15,000 ejen jualan dan sekutunya di 15 negara dan membabitkan jualan hartanah bernilai US$1 bilion pada 2019.
-- BERNAMA
#pasaran hartanah #Pulih #pemulihan #juwai iqi #Sabah #COVD-19 #lekuk V #indeks hartanah #Kashif Ansari #pembeli rumah pertama #pembeli asing #tempatan #sewaan kediaman