Skip to main content

Malaysia

Pasaran kripto kekal tidak menentu susulan konflik AS-Iran, kesan terhadap minyak global

81741143460_SkimPelaburanKripto.jpg
Ketika ini, Bitcoin pada platform tukaran mata wang kripto Malaysia, Luno susut 4.15 peratus kepada RM273,944. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pasaran mata wang kripto kekal sangat tidak menentu, apabila harga mengalami turun naik di tengah-tengah ketidakpastian, susulan konflik geopolitik khususnya konflik di Asia Barat dan potensi kesannya terhadap bekalan minyak global.

Ketua Sekolah Perniagaan Universiti Monash Malaysia dan pensyarah kewangan Profesor Nafis Alam berkata keadaan sedemikian mendorong pelabur untuk menilai semula risiko secara berterusan.

Advertisement

“Setiap tajuk utama baharu boleh mencetuskan lonjakan atau penurunan harga yang singkat, tetapi tanpa penyelesaian yang jelas, kesemua pergerakan ini jarang sekali berkembang menjadi trend yang berterusan,” katanya kepada Bernama. 

Nafis menjangkakan dagangan yang tidak menentu itu akan berterusan selama dua hingga enam minggu, sementara pasaran menunggu kejelasan. 

“Secara amnya, ketidaktentuan ini hanya berkurangan apabila penurunan yang boleh dipercayai berlaku, seperti gencatan senjata atau ketegangan yang berkurangan. 

“Sebaliknya, jika konflik ini mencetuskan perubahan ekonomi yang berlarutan seperti kenaikan mendadak harga minyak yang berpanjangan hingga menjejaskan inflasi dan jangkaan kadar faedah, mata wang kripto boleh keluar daripada julat dagangan semasa bersama-sama dengan pasaran risiko yang lebih luas,” katanya. 

Ketika ini, Bitcoin pada platform tukaran mata wang kripto Malaysia, Luno susut 4.15 peratus kepada RM273,944.

Menurut laporan Luno, pasaran global mencatatkan pemulihan susulan ketegangan di Asia Barat dengan Bitcoin meningkat kepada US$7,000 pada pertengahan minggu apabila pelabur berebut-rebut untuk memiliki aset selamat. 

Dalam tempoh jangka pendek, Nafis menyatakan bahawa kripto berperanan lebih sebagai aset sensitif risiko berbanding aset perlindungan tradisional dengan pergerakan harga semakin dipengaruhi oleh faktor makroekonomi dan bukannya tajuk utama semata-mata.

Sependapat dengan Nafis, Timbalan Pengurus Negara Luno Malaysia Jeroni Khoo berkata mata wang kripto kini bertindak sebagai aset ‘berisiko’, sama seperti saham teknologi, dan dijangka kekal sebagai aset berisiko semasa perang di Asia Barat. 

Beliau berkata perkembangan geopolitik tidak mungkin mengubah pasaran kripto yang lebih luas tahun ini melainkan ia melangkaui ambang peningkatan berimpak tinggi.

“Sebagai contoh, kenaikan mendadak harga minyak berikutan penutupan Selat Hormuz, konflik serantau yang merebak hingga ke luar Asia Barat, atau perubahan utama dalam dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat,” kata Khoo. 

Oleh itu, bagi mengukur sama ada risiko penuruan semakin meningkat, beliau menasihati pelabur agar memantau empat petunjuk masa nyata, iaitu kadar pendanaan, kedudukan derivatif, aliran institusi, termasuk aliran dana dagangan pertukaran Bitcoin semerta bersih, dan data pembubaran. 

Khoo berkata amat penting untuk mentafsirkan kesemua petunjuk itu secara kolektif sebagai satu sistem dan bukannya secara individu. 

“Pergerakan pasaran yang meluas sebahagian besarnya akan bergantung kepada perkembangan geopolitik dan makroekonomi. 

“Jika Fed mengetatkan dasar monetari sebagai tindak balas terhadap inflasi yang didorong oleh minyak, aset berisiko akan berdepan dengan cabaran. 

“Bagaimanapun, sekiranya Fed beralih kepada suntikan mudah tunai kecemasan, ia akan menjadi penghalang kepada harga mata wang kripto,” tambahnya. 

-- BERNAMA

Must Watch Video