Pasca PRU15: Cikgu Shukri angkat sumpah MB Perlis yang baharu

Abd Hadi Che Awang
November 22, 2022 08:43 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu. - Astro AWANI
ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli sah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Ia selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu selesai mengangkat sumpah jawatan yang berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Balai Menghadap Istana Arau, pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Mohd Shukri, 61 tahun atau lebih dekenali sebagai Cikgu Shukri dipilih sebagai Menteri Besar selepas gabungan parti Perikatan Nasional (PN) menang di 14 kerusi daripada 15 kerusi DUN di Perlis dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kemenangan yang dicapai itu juga merupakan satu lembaran sejarah baharu dalam pentadbiran negeri Perlis apabila berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan sejak 60 tahun lalu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Azlan Man dari Barisan Nasional (BN), yang turut tumpas didalam PRU15 di DUN Bintong.
Untuk rekod, Mohd Shukri menang di DUN Sanglang dalam pertembungan empat penjuru dengan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan majoriti 3,335 undi.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai seorang pendidik sejak tahun 1985 sehingga tahun 2013 sebelum menjadi ADUN di Sanglang sejak penggal PRU13.
Di dalam penglibatan sosial, Pengerusi PN Perlis itu juga merupakan Penaung Pertubuhan Kebajikan Komuniti Arau (PEKA) dan Penaung Sanglang Care.
#Cikgu Shukri MB Perlis baharu #angkat sumpah #ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli #PRU15