BERA: Penduduk di Kampung Kuala Triang di sini mahu kerajaan membantu membina rumah rakit bagi membolehkan mereka mengalih dan menyimpan barangan keperluan apabila menjelang musim tengkujuh.

Rumah rakit disifatkan sebagai stor sementara yang berupaya menyelamat harta benda penduduk kampung yang dilanda banjir.

Seorang penduduk, Norizah Mohd Said, 53, berkata, setiap kali bencana banjir melanda, rumahnya akan dinaiki air, dan setiap kali itulah ada sahaja barangan yang rosak.

"Memang saya dah siap siaga dengan membina para berdekatan siling rumah tapi bukan semua barang boleh diletak atas para.

"Kalau mesin basuh atau peti ais, memang tak muat lah. Lagipun, saya risau letak barang banyak-banyak nanti roboh pula para," katanya.

Katanya lagi, ada sebahagian penduduk di sini yang sudah membina rumah rakit sendiri namun bagi dirinya, dia tidak mampu mengeluarkan kos yang besar untuk tujuan itu.

Norizah memberitahu, sekiranya kerajaan atau pihak tertentu dapat membantu dalam hal ini, sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk di sini.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kuala Triang, Adam Ismail berkata, pihaknya juga ada menyuarakan cadangan dan hasrat penduduk kepada pihak berkenaan.

”Setakat ini, kira-kira 30 peratus penduduk di sini mempunyai rumah rakit sendiri. Dan tidak dinafikan, rumah rakit ini banyak memberi manfaat kepada penduduk pada musim banjir. Kos pembinaan pula bergantung kepada kelebaran atau sentuhan pada rumah rakit itu.

"Berbeza mereka yang tiada rumah rakit, masing-masing terpaksa mencari alternatif lain untuk menyelamatkan barangan mereka. Dan ada yang meletakkan barangan di kawasan tinggi dengan harapan tiada berlaku sebarang kes kecurian" katanya.

Badrul Hisham Darus (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk, Sahadan Samah, 70 diiringi Adam Ismail (kiri) pada Program Pasca Banjir VN37 bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini. - Foto Astro AWANI

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI ketika Program Pasca Banjir VN37 bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Hadir sama, Ketua Delegasi Sukarelawan UMT, Badrul Hisham Darus.

Katanya, dapat sekurang-kurangnya bantuan membina antara 10 hingga 15 rumah rakit untuk dikongsi penduduk, terutamanya di kawasan yang kerap dilanda banjir.

Adam Ismail (kanan) bersama sebahagian pelajar UMT bagi membersihkan kawasan rumah penduduk kampung selepas kampung itu dilanda banjir gelombang kedua, baru-baru ini. - Foto Astro AWANI

Adam memberitahu, anggaran kos setiap rumah rakit itu antara RM10,000 hingga RM13,000 setiap satu.

"Kalau cadangan ini diterima, pihak berkenaan boleh meletakkan is di bawah tanggungan jabatan atau agensi berkaitan agar tidak wujud sebarang penyelewengan atau tidak puas hati daripada pihak tertentu.

"Sebelum ini pun, Adun Guai, Datuk Seri Norolazali Sulaiman ada meminta pihak Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk merekabentuk rumah rakit yang bersesuaian. Cuma is masih di peringkat awal tapi saya berharap, ia dapat direalisasikan secepat mungkin," katanya.

Difahamkan, kronologi bencana banjir di daerah Bera bermula dari pada tahun 1971, 1988, 2007, 2013 dan 2014 termasuk Januari 2015, dan yang terkini pada penghujung tahun 2021 dan Januari 2022.