MALAYSIA

Pasport Malaysia di tangga ketiga dunia

Ernalisa Othman 05/11/2025 | 12:41 MYT
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, pencapaian tersebut turut mencerminkan kepercayaan tinggi komuniti global terhadap dasar keselamatan serta integriti negara.
KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia terus mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tangga ketiga dunia dalam ranking Passport Index 2025.

Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kedudukan itu sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati kemudahan perjalanan tanpa visa ke 174 buah negara di seluruh dunia.

Kejayaan ini membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap tahap keselamatan dan keutuhan sistem dokumen perjalanan Malaysia.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, pencapaian tersebut turut mencerminkan kepercayaan tinggi komuniti global terhadap dasar keselamatan serta integriti negara.

Sumber rasmi Passport Index menyenaraikan Malaysia antara tiga negara teratas bersama beberapa negara lain dalam senarai pasport paling berkuasa di dunia.

Malaysia berkongsi kedudukan dengan Belgium, Perancis, Netherlands, Jerman, Finland, Luxembourg, Itali, Denmark, Portugal, Switzerland, Greece, Austria, Norway, Ireland dan Korea Selatan.

Pasport Emiriah Arab Bersatu berada di kedudukan pertama dengan 179 buah negara kunjungan, manakala SIngapura dan Sepanyol berkongsi di tempat kedua dengan 175 buah negara kunjungan

#Pasport Malaysia terbaik #Pasport Malaysia tangga ke-3 dunia #Rakyat Malaysia menikmati kemudahan #Malaysia berada tiga teratas dunia