MALAYSIA

Pasport Malaysia kini setara Amerika Syarikat, no 2 terkuat di Asia Tenggara

Agensi 18/10/2025 | 23:00 MYT
Pasport antarabangsa Malaysia kini disenaraikan setanding dengan pasport Amerika Syarikat (AS) selepas kedua-duanya berkongsi kedudukan ke-12 dalam Indeks Pasport Henley 2025 (edisi Oktober). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pasport antarabangsa Malaysia kini disenaraikan setanding dengan pasport Amerika Syarikat (AS) selepas kedua-duanya berkongsi kedudukan ke-12 dalam Indeks Pasport Henley 2025 (edisi Oktober).

Menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh firma penasihat kewarganegaraan dan kediaman global berpangkalan di London, Henley & Partners, kedua-dua pasport Malaysia dan AS kini membolehkan pemegangnya melancong ke 180 destinasi tanpa perlu mendapatkan visa terlebih dahulu daripada keseluruhan 227 destinasi di dunia.

Pasport Amerika Syarikat, yang pernah menduduki tangga pertama pada 2014 kini terus menunjukkan penurunan berterusan dalam kekuatan akses antarabangsa - dan buat pertama kali, keluar daripada senarai 10 pasport paling berkuasa di dunia sejak bulan lalu.

Pengerusi Henley & Partners, Christian H. Kaelin menjelaskan, kemerosotan itu mencerminkan perubahan besar dalam landskap kuasa lembut dan kebebasan mobiliti global.

“Kemerosotan kekuatan pasport AS sepanjang dekad lalu bukan sekadar perubahan kedudukan. Ia menandakan perubahan asas terhadap dinamik keterbukaan dan kuasa global.

Negara yang mengamalkan dasar terbuka dan kerjasama semakin maju, manakala mereka yang bergantung pada keistimewaan masa lalu mula ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakyat Malaysia bangga dengan keupayaan global

Walaupun Malaysia turun satu anak tangga berbanding kedudukan ke-11 tahun lalu, pencapaian kali ini tetap dianggap membanggakan oleh ramai rakyat di media sosial, yang meraikan hakikat bahawa pasport Malaysia kini diiktiraf setaraf dengan Amerika Syarikat.

Mereka turut menzahirkan rasa bangga kerana dokumen perjalanan Malaysia membolehkan rakyatnya menjelajah hampir ke seluruh dunia tanpa visa.

Singapura kekal pasport paling berkuasa di dunia

Dalam senarai terbaru itu, Singapura kekal di tangga teratas dunia dengan kemudahan akses tanpa visa ke 193 destinasi, diikuti Korea Selatan dan Jepun di tempat kedua dan ketiga.

Henley Passport Index menilai tahap kebebasan perjalanan global merangkumi 227 negara dan wilayah, dengan data eksklusif diperoleh daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Indeks itu menilai 199 jenis pasport berdasarkan jumlah destinasi yang boleh dimasuki tanpa visa terlebih dahulu dan dikemas kini secara berkala sepanjang tahun bagi mencerminkan perubahan dasar imigresen global. - Agensi


#pasport Malaysia #pasport Malaysia terkuat #Indeks Pasport Henley #Visa