Skip to main content

Malaysia

'Pasport terbang': Hanya RM700, sindiket palsukan rekod pergerakan warga asing

FLYING PASPORT -- kredit: JIM
Berdasarkan siasatan, salinan muka hadapan pasport dihantar ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol bagi membolehkan dokumen itu diimbas. - Gambar JIM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga individu dipercayai terbabit dalam sindiket 'pasport terbang' ditahan dalam satu operasi khas di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor, pada Khamis.

Siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan taktik mengumpulkan pasport warga asing tanpa kehadiran pemilik dokumen di pintu masuk negara sebelum mewujudkan rekod pergerakan keluar masuk palsu dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dengan mengenakan bayaran RM700 bagi setiap pasport yang diproses.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan siasatan, salinan muka hadapan pasport dihantar ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol bagi membolehkan dokumen itu diimbas.

"Ia bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem Jabatan Imigresen," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Zakaria memberitahu, turut disita adalah beberapa telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen dan wang tunai berjumlah RM20,000.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut. 

Tegas Zakaria, pihaknya akan meneruskan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti rangkaian sindiket.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara," tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement