KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu terus berusaha dan memastikan tidak lagi berlaku keciciran dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran.

Hal ini kerana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertanggungjawab dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat desa.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan mahu melihat pelajar-pelajar institusi pendidikan di bawah kementerian itu dapat menyambung pengajian sehingga peringkat tertinggi.

"Kita berhasrat untuk melihat pelajar-pelajar institusi pendidikan dibawah KKDW ini terutamanya dalam kalangan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran daripada peringkat sijil hingga peringkat Doktor Falsafah," katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2023, hari ini.

BACA: Malaysia mesti keluar daripada perangkap pendapatan sederhana - Ahmad Zahid

Zahid turut menambah, KKDW merupakan satu-satunya kementerian yang mempunyai tiga institut pengajian di bawah kendaliannya, termasuk UniKL dan Universiti Poly-tech Malaysia (UPTM).

"Justeru tidak mustahil bagi pelajar daripada program pensijilan dari Giat Mara atau kolej-kolej yang lain di bawah kementerian ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat diploma atau lebih tinggi.

"Jangan ada prasangka bahawa mereka yang dianggap tercicir dalam bidang akademik dan masuk ke bidang TVET tidak ada peluang dan masa depan. UniKL telah buktikan mereka juga adalah aset negara dan mampu menyumbang kecemerlangan," katanya lagi.

Beliau menegaskan sokongan kerajaan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan UniKL dalam penawaran program modal insan yang berimpak tinggi. Ini diterjemahkan melalui peruntukan bernilai RM71 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Peruntukan yang disalurkan ini sedang digunakan bagi membangunkan peralatan pengajaran dan pembelajaran terkini seperti keselamatan siber, media digital, tenaga boleh perbaharui, sijil profesional European Aviation Safety Agency dan sijil profesional Signalling and Communication di bawah Institute of Railway Signal Engineer, United Kingdom," jelasnya.

Zahid juga menyeru graduan agar bertindak sebagai duta kecil dan memainkan peranan dalam bidang profesional sebagai pemangkin penarikan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia.