GEORGE TOWN:Seorang paderi orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki 20 tahun lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ketiadaan jurubahasa Korea Selatan serta jurubahasa isyarat antarabangsa bagi membaca pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, Jee Jong Hoon, 54, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan memeluk, mencium bibir dan menggeselkan kemaluannya terhadap seorang lelaki yang kini berusia 40 tahun dengan niat mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gelugor pada tahun 2000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh diwakili peguam G Shanmugam dan Adlin Farhana.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, Rosnee turut menetapkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap 29 hari bulan dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 9 Februari depan untuk sebutan semula kes dan mendapatkan jurubahasa Korea Selatan dan jurubahasa isyarat antarabangsa.

Pada 18 Disember lepas, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth atas dua lagi tuduhan mencabul kehormatan dua lelaki yang juga OKU pada 2013 dan 2017.