NATIONAL
Pasukan Khas MERCY Malaysia tamatkan misi kemanusiaan ke-5 di Gaza
MERCY Malaysia mengesahkan Pasukan Khas Rawatan Kelima (SCT 5) telah selamat menamatkan misi kemanusiaannya di Gaza yang berlangsung selama sebulan, bermula 27 Mac hingga 26 April 2025. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia mengesahkan Pasukan Khas Rawatan Kelima (SCT 5) telah selamat menamatkan misi kemanusiaannya di Gaza yang berlangsung selama sebulan, bermula 27 Mac hingga 26 April 2025.
Ringkasan AI
- MERCY Malaysia telah tamatkan misi kemanusiaan ke-5 di Gaza dari 27 Mac hingga 26 April 2025, diketuai oleh Pasukan Khas Rawatan Kelima (SCT 5).
- Pasukan ini beri rawatan kritikal di hospital utama yang lumpuh dan bantu ratusan mangsa cedera dengan kerjasama WHO dan agensi antarabangsa.
- MERCY Malaysia kekal komited bantu Gaza dan akan terus jalinkan kerjasama untuk misi kemanusiaan akan datang.
Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, misi tersebut digerakkan sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu, dan dilaksanakan dengan penyelarasan daripada Emergency Medical Teams Coordination Cell di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO EMTCC).
“Pasukan ini telah memberikan rawatan perubatan kritikal di beberapa fasiliti kesihatan yang lumpuh termasuk Hospital Al-Shifaa, Hospital Al-Nasser, dan Hospital Pakar Kuwait,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Menurutnya lagi, pasukan SCT 5 turut bekerjasama rapat dengan petugas tempatan serta agensi antarabangsa bagi menyalurkan rawatan kecemasan dan trauma kepada ratusan mangsa, yang mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk kecederaan letupan, patah tulang dan jangkitan.
“Kepulangan SCT 5 bukan sahaja menandakan kejayaan misi penting ini, malah mengukuhkan komitmen kami terhadap tindakan kemanusiaan yang berasaskan prinsip keadilan dan tidak berat sebelah.
"Kita amat bersyukur kepada Yang Maha Esa, dan berterima kasih kepada WHO EMTCC serta rakan kerjasama atas sokongan dan perlindungan sepanjang misi,” katanya.
Dr Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada WHO EMTCC serta rakan kerjasama antarabangsa atas segala bentuk sokongan dan perlindungan sepanjang misi berlangsung.
Beliau menjelaskan bahawa ini merupakan misi kelima MERCY Malaysia ke Gaza sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober 2023.
“Empat pasukan terdahulu telah memasuki Gaza antara Februari hingga Mei 2024 melalui pintu sempadan Rafah dari Mesir, termasuk semasa bulan Ramadan dan Syawal tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, MERCY Malaysia kekal komited terhadap misi kemanusiaan berprinsip dan akan terus bekerjasama dengan agensi antarabangsa bagi memastikan bantuan berterusan diberikan kepada penduduk Gaza dan wilayah-wilayah krisis lain.