Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengendalikan kes bunuh Datuk Anthony Kevin Morais hari ini meluang masa seharian melawat tiga lokasi penemuan bahan bukti dalam kes pembunuhan kejam tersebut yang berlaku pada September tahun lepas.

Tiga lokasi tersebut yang dilawat ialah rangka kereta terbakar milik mangsa yang disimpan di kompaun simpanan barang kes di Balai Polis Hutan Melintang dan lokasi kereta dibakar di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak di sini.

Lokasi ketiga pula adalah di sebatang sungai di Kuala Selangor, Selangor dimana ia merupakan lokasi pembuangan bahan bukti berupa mesin canai serta barang-barang milik mendiang Kevin iaitu jam tangan, beg duit dan cincin.

Hakim Datuk Azman Abdullah tiba di Balai Polis Hutan Melintang dengan menaiki kereta Proton Perdana kira-kira pukul 12.20 dengan diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah.

Sebelum ini, pasukan pendakwaan yang diketuai Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin serta pihak pembelaan tiba sekitar 11.40 pagi di balai tersebut dengan menaiki lima kenderaan termasuk sebuah trak yang membawa ketujuh-tujuh tertuduh dalam kes itu.

Tertuduh berkenaan ialah pakar patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 53, yang didakwa bersubahat dengan enam lelaki untuk membunuh mendiang Kevin Morais, 55, yang merupakan Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas Raya, Sentul di Kuala Lumpur ke no. 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 september tahun lalu.

Enam lagi tertuduh iaitu empat penganggur, G. Gunasekaran, 48; R. Dinishwaran, 24; A.K. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 26; pelajar kolej, S. Nimalan, 23, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 45, didakwa membunuh mangsa pada masa, tarikh dan tempat sama.

Rombongan berkenaan mengambil masa 30 minit melihat dan meneliti lokasi kejadian sebelum bergerak ke Kuala Selangor yang merupakan lokasi terakhir lawatannya pada pukul 2 petang.

Kevin, dilaporkan hilang sebelum ditemui dibunuh dalam tong dram berisi konkrit.