Setelah hampir seminggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancar bagi mengesan pelancong Finland, Nikitin Aleksis Elis Valtteri, 20 yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Pulau Tioman pada 22 Jan lalu, pasukan yang terlibat menemui petunjuk baharu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohamad berkata Unit Anjing Pengesan (K9) polis dan bomba berjaya mengesan bau lelaki itu di laluan yang dipercayai digunakannya.

"Laluan itu adalah laluan biasa yang digunakan penduduk kampung dan pasukan SAR mempergiat usaha mencari di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan Bagi 2019 Peringkat JBPM Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarahnya Mohd Sani Harul.

Menurutnya selain Unit K9, seramai 41 individu merangkumi pegawai dan anggota JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung terlibat dalam operasi berkenaan.

Nor Hisham berkata, pasukan SAR juga telah melengkapkan dua kali pencarian di kawasan Kampung Paya, Kampung Genting dan Kampung Asah, Mukut selain kawasan air terjun Motherwillow dan laluan ke Gunung Kajang iaitu kawasan di tengah pulau kira-kira tiga kilometer dari Kampung Paya.

Valtteri dilaporkan tiba di Pulau Tioman secara bersendirian pada 21 Jan lalu sebelum dilaporkan hilang pada keesokannya selepas gagal pulang ke rumah seorang penduduk kampung yang ditumpanginya.

Sebelum itu lelaki berkenaan memaklumkan untuk ke Air Terjun Kampung Asah, Mukut di selatan Pulau Tioman.

-- BERNAMA