KUALA LUMPUR: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memperoleh aset-aset baharu bagi keperluan perkhidmatannya tahun depan, sejajar dengan arus pembangunan dan teknologi semasa, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata perolehan kelengkapan daripada Kementerian Dalam Negeri bagi PSP yang bernilai RM21.8 juta itu antara lain membabitkan kelengkapan keselamatan anti rusuhan seperti 1,000 unit Protective Armour Body (PAB) dan 1,000 unit Gas Mask bernilai RM10 juta.

Perolehan lain ialah 13 laras Sniper Rifle.22 bernilai RM2.3 juta, 10 van tempur (RM3.6 juta), perolehan penggantian 175 laras Riot Gun (RM2.8 juta), empat kenderaan Float Bonded Truck untuk kegunaan Unit Berkuda PSP (RM2.2) juta serta 10 anjing rusuhan (RM900,000).

"Saya harap aset yang bakal diperoleh nanti akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga PSP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, Insya-Allah," katanya semasa berucap merasmikan Markas PSP dan Sambutan Hari Ulang Tahun PSP ke-68 di Dataran Kawad PSP, di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan khususnya KDN yang sentiasa mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar dengan arus pembangunan serta teknologi semasa.

Mengenai Markas PSP di Cheras, Razarudin berkata ia akan menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda PSP dan Terup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan dan blok perumahan buat warga PSP.

Beliau berkata pewujudan markas itu adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap peri pentingnya peranan PSP dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam sejak sekian lama.

Sementara itu, beliau berkata PSP telah menahan 163 individu melibatkan 41 kes pelbagai kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun dan khazanah negara di seluruh negara melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM31.8 juta bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

"Peranan PSP telah dipelbagaikan termasuklah bagi tugas risikan untuk membantu pasukan sahabat yang lain bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan, selain terlibat dalam kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan pendatang tanpa izin," katanya.

PSP adalah satu sayap kanan PDRM yang bernaung di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

-- BERNAMA