KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni menegaskan sekali lagi pendirian kerajaan bahawa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak serta-merta ke Nepal, semasa lawatan ke Kedutaan Nepal di sini pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook, Kementerian Luar atau Wisma Putra, menyatakan bahawa Lukanisman turut menekankan kesediaan kerajaan untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan Nepal.
"Beliau menyampaikan doa dan simpati mendalam kepada kerajaan serta rakyat Nepal, khususnya kepada ahli keluarga yang terjejas dalam menghadapi saat-saat sukar ini," menurut hantaran Wisma Putra.
Lukanisman turut menandatangani buku takziah semasa lawatan itu.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Nepal, Mudita Bajracharya bagi pihak kerajaan Nepal, mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri itu atas ucapan takziah dan solidariti yang ditunjukkan terhadap rakyat Nepal dalam tempoh penuh kedukaan ini.
"Bajracharya turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas bantuan kewangan yang disalurkan,” menurut kedutaan itu menerusi Facebook.
Lebih 1,200 orang terkorban dan lebih 4,200 lagi masih hilang susulan kejadian banjir besar berhampiran sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu.
-- BERNAMA