Kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini dikenal pasti merumitkan usaha memastikan Malaysia bebas penyakit kusta, ujar Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, Sabah menjadi penyumbang kes tertinggi penyakit kusta melibatkan pendatang asing.

"Sehingga kini, daerah Tawau, Sabah merekodkan kes baharu tertinggi pada tahun ini, dengan 17 kes. Daripada jumlah itu,11 kes adalah melibatkan warganegara, manakala enam kes lagi warga asing," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kusta Sedunia 2017 di Hospital Orang Asli Gombak di sini hari ini.


Menurut Dr Hilmi, setakat ini, 330 kes sedia ada dan baharu sedang menerima rawatan di semua hospital seluruh negara.

Mengikut anggaran, kira-kira 30 hingga 45 peratus daripada kes baharu kusta dilaporkan melibatkan warga asing bagi setiap tahun.

"PATI ini masalahnya ialah mereka masuk tanpa pemeriksaan langsung kesihatan. Mungkin mereka sudah lama kena penyakit itu dan pembawa penyakit, dan menyebabkan timbulnya penyakit itu (kusta) di sini (Malaysia)," tambahnya.

Manakala, Selangor menjadi negara kedua penyumbang kes kusta iaitu di daerah Petaling dan Gombak.

Bagaimanapun katanya, kes baharu kusta menunjukkan tren penurunan sejak lima tahun lalu.

"Pada 2012; 325 kes, 2013; 306 kes, 2014; 308 kes, 2015; 210 kes, dan 2016; 206 kes kusta direkodkan," jelasnya lagi.

Justeru katanya, kementeriannya akan terus melakukan pemeriksaan dan rawatan bagi mengesan dan merawat pesakit kusta daripada terus merebak.

"Rakyat Malaysia perlulah mempunyai kesedaran dan pengetahuan secukupnya mengenai penyakit ini. Sebarang tompok di kulit yang kurang rasa sentuhan, tidak gatal, tidak berpeluh perlu disahkan doktor bukannya kusta apatah lagi jika ia telah lama dan tidak pulih dengan rawatan sebelumnya," ujarnya.