Patuh teguran Agong, tindakan tegas Ahli Parlimen sentuh 3R dalam sidang Parlimen - Speaker

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen perlu memberi perhatian serius terhadap teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, khususnya berhubung larangan memainkan sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) termasuk dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Ringkasan AI
- Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan kepentingan Ahli Parlimen untuk menghormati larangan memainkan sentimen kaum, agama, dan institusi diraja dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
- Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar garis merah yang telah ditetapkan berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong.
- Ahli Parlimen digesa untuk menumpukan perbahasan kepada isu penting seperti Rancangan Malaysia Ke-13 dan meninggalkan perbahasan isu-isu remeh yang menghabiskan masa persidangan.
"Saya dan timbalan-timbalan Speaker akan memastikan isu 3R tidak digunakan sesuka hati kerana ia boleh mengundang salah faham serta mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat dan pimpinan.
"Jika saya bertindak, jangan salahkan saya kerana tuanku sendiri telah menegaskan bahawa isu 3R tidak boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya dipolitikkan dalam Dewan Rakyat," katanya kepada Bernama dan RTM di lobi Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Seri Paduka Baginda dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 hari ini menzahirkan amaran keras terhadap isu rasuah selain menitahkan supaya tindakan memerangi jenayah itu dibuat besar-besaran, selain menangani perbuatan yang menyentuh isu 3R dengan berkesan.
Dalam pada itu, Johari mahu Ahli Parlimen menumpukan perbahasan kepada perkara-perkara utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), berbanding terjebak dalam isu remeh yang menghabiskan masa persidangan.
"Berikan pandangan dan cadangan yang membina untuk membangunkan negara. Tinggalkan perbahasan isu-isu periferal dan tunjukkan kematangan dengan menggunakan minda yang jelas, bukan emosi," katanya.
Beliau berkata langkah reformasi institusi akan diteruskan bagi memastikan perjalanan persidangan lebih teratur dan berfokus, termasuk menambah bilangan soalan bagi memberi ruang lebih luas kepada Ahli Parlimen membangkitkan isu rakyat.
Johari turut memaklumkan mulai tahun ini, sidang Kamar Khas Dewan Rakyat akan berpindah ke dewan persidangan yang lebih besar, sekali gus membolehkan lebih ramai tetamu termasuk pelajar mengikuti prosiding itu.
Beliau berkata Kamar Khas memberi tumpuan khusus kepada wakil rakyat dan kerajaan untuk membincangkan isu-isu tempatan, dan dewan persidangan yang lebih luas membolehkan Ahli Parlimen membawa penduduk kawasan masing-masing bagi membolehkan mereka mendengar sendiri perbahasan berkaitan isu setempat.
"Saya percaya langkah ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan malah memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan rakyat di kawasan mereka," katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah peringatan utama yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen? A: Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan larangan memainkan sentimen kaum, agama, dan institusi diraja dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
- Q: Apakah tindakan yang akan diambil terhadap Ahli Parlimen yang melanggar garis merah yang ditetapkan berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong? A: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar garis merah yang telah ditetapkan berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong.
- Q: Apa pesanan penting yang disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat kepada Ahli Parlimen berkenaan perbahasan di Dewan Rakyat? A: Ahli Parlimen digesa untuk menumpukan perbahasan kepada isu penting seperti Rancangan Malaysia Ke-13 dan meninggalkan perbahasan isu-isu remeh yang menghabiskan masa persidangan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

