Beberapa individu tidak bertanggungjawab merosakkan sebuah patung di kuil Hindu di Bayan Baru di sini malam tadi.

Mereka merosakkan patung berharga kira-kira RM500 itu yang disimpan di Kuil Dewa Sri Mathurai Veeran.

Siasatan awal polis mendapati kuil itu kini tidak digunakan bagi aktiviti keagamaan, kata ketua polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata pihak pengurusan kuil yang terletak di tanah persendirian itu telah diberi notis oleh pemilik tanah supaya mengosongkan kawasan berkenaan.

Ini adalah kes ketiga sepertinya yang dilaporkan sejak bulan lepas.

Pada awal Jun, dua patung dirosakkan, dengan kes pertama dilaporkan berlaku di sebuah kuil Hindu di Estet Penanti, Ara Kuda.