PAU2021: 'Aliran keluar bersih modal asing RM166.1 bilion selepas PRU14' - Zahid

Fareez Azman
Mac 18, 2022 12:34 MYT
Jelas Ahmad Zahid, UMNO mempunyai kemampuan menyusun semula strategi dalam menarik kembali pelaburan ke negara ini sekaligus memanfaatkan rakyat dan ekonomi. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa parti keramat itu mampu menarik semula pelaburan asing ke negara ini selepas kegagalan kedua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Jelasnya, sebanyak RM166.1 bilion aliran keluar bersih modal asing berlaku di bawah pentadbiran dua kerajaan sebelum ini.
"Akibat kegagalan dua kerajaan sebelum ini mengurus ekonomi negara dengan baik, berlaku aliran keluar modal asing, atau ‘capital flight’ yang cukup besar.
"Negara menyaksikan pengaliran keluar bersih modal, atau ‘net capital outflow’ sebanyak RM166.1 bilion selepas PRU14 sehingga kini.
"Pemberhentian operasi syarikat asing di negara ini dan perpindahan operasi ke negara jiran, memperlihatkan merosotnya keyakinan pelabur kepada negara kita," jelasnya dalam ucapan Presiden UMNO Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Perhimpunan Agung UMNO 2021
Jelas Ahmad Zahid, UMNO mempunyai kemampuan menyusun semula strategi dalam menarik kembali pelaburan ke negara ini sekaligus memanfaatkan rakyat dan ekonomi.
"Maka dengan sebab itu, kita perlu ada kemampuan menyusun semula strategi untuk menarik kembali pelaburan luar ke negara ini.
"Dengan strategi dan jalinan hubungan baik dengan negara-negara luar, kita yakin akan dapat melonjakkan semula pelaburan asing di negara ini, yang kesannya bukan sahaja merancakkan kembali kegiatan ekonomi tetapi jauh lebih penting.
"Lmpahan kerancakan tersebut sudah pasti dinikmati rakyat secara langsung melalui wujudnya peluang pekerjaan dan wujudnya rantaian perniagaan," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut tambah Ahmad Zahid, ketika ini hanya 70,000 peluang pekerjaan disediakan bagi menyerap graduan meskipun jumlah graduan baharu dihasilkan melebihi 300,000 orang.
"Selain itu, terdapat kira-kira 1.9 juta orang yang masuk dalam statistik mempunyai pekerjaan tetapi sebenarnya berstatus 'underemployed'.
"Iaitu sama waktu kerja mereka kurang dari jumlah jam yang mereka sanggup bekerja, ataupun mereka ini punya kelulusan tinggi tetapi terpaksa bekerja di dalam pekerjaan yang tidak memanfaatkan kepakaran mereka," ujarnya.
Jelasnya, isu pengangguran adalah satu bentuk kerugiaan kepada negara dan pembaziran sumber daya manusia.
#UMNO #PAU2021 #Ahmad Zahid Hamidi #ekonomi
;