PAU2023: UMNO jamin terus perjuang kebajikan pekerja gig - Ahmad Zahid

Umavathi Ramayah
Jun 10, 2023 07:43 MYT
Ahmad Zahid ditemui pemberita selepas menerima memorandum Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Ekonomi Malaysia (SEGiM) pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO berjanji akan terus memperjuang kebajikan dan hak pekerja sektor ekonomi gig di seluruh negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau juga telah menerima memorandum daripada pekerja gig yang menggesa supaya Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) ditubuhkan segera bagi membela nasib mereka.
"Jadi hari ini bukan sekadar hanya hantar memorandum, tetapi ucapkan terima kasih kepada UMNO kerana membawa inisiatif menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia bagi mengawal selia ekosistem industri gig.
"Namun, saya melalui Pengerusi Biro Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kesatuan Sekerja, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, sudah membawa perkara ini lebih awal.
"Insya-Allah UMNO akan memperjuangkan industri ekonomi ini di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mandor di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Semalam, Ahmad Zahid ketika menyampaikan amanat Presiden menyuarakan mengenai syor penubuhan SEGiM sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.
Penubuhan SEGiM adalah antara lima syor yang dikemukakan beliau dalam menangani keresahan rakyat berhubung pembangunan ekonomi di negara ini.
#Zahid Hamidi #ekonomi gig #PAU 2023 #SEGIM