NATIONAL
PBAKL2025: Kepengerusian ASEAN turut tonjol kepentingan ilmu dan budaya

Azman (empat dari kiri) di majlis pra pelancaran PBAKL2025, pada Rabu. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja mahu memegang mandat diplomatik, tetapi juga memimpin melalui ilmu dan budaya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, kepengerusian ASEAN memerlukan kepimpinan dalam aspek pentadbiran serta nilai dan budaya, dengan industri buku dilihat memainkan peranan penting.
"Buku dapat memperkukuh kesatuan serantau. Saya ingin menyeru agar industri buku negara tampil sebagai penyumbang utama dalam membentuk naratif serantau melalui terjemahan silang, penerbitan bersama, dan penceritaan lokal yang bersifat sejagat. Suara Asia Tenggara mesti berdiri setara di pentas dunia, bukan tenggelam dalam arus global.
"Ini seiring dengan Dasar Pendidikan Serantau yang menjunjung prinsip keadilan ilmu, pengiktirafan kearifan tempatan, dan pemerkasaan insan sejagat," katanya dalam ucapan pada majlis pra pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2025) di ibu negara, pada Rabu.Tambahnya, penganjuran kali ketiga Asian Rights Fair (ARF) sempena PBAKL akan mengangkat Malaysia sebagai hab hak penerbitan serantau yang disegani.
"Malaysia boleh mengangkat suara dan karya Asia Tenggara agar tidak tenggelam dalam arus globalisasi, tetapi sebaliknya menjadi penyumbang kepada tamadun dunia. Kita mahu penulis ASEAN bukan hanya dikenali di rantau sendiri, tetapi menjadi suara penting di pentas antarabangsa," katanya lagi.
PBAKL2025 bakal berlangsung pada 23 Mei sehingga 1 Jun ini di World Trade Centre, Kuala Lumpur, dengan sasaran 1.9 juta pengunjung.
Salah satu tarikan baharu tahun ini ialah empat pavilion khas iaitu Pavilion Al-Falah (gabungan 14 agensi agama), Pavilion Kementerian Pengajian Tinggi, Pavilion Kementerian Pendidikan dan Pavilion Kementerian Perpaduan Negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami