PUTRAJAYA: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 yang bersidang hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merangkumi "COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection; CoronaVac Suspension for Injection - Sinovac dan COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection".

"Pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran untuk mengemukakan analisis data-data tambahan dan terkini secara 'rolling submission' untuk dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, langkah itu bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan vaksin sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin itu kekal positif.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa ini NPRA masih menilai dua lagi produk vaksin COVID-19 iaitu Gam-COVID-Vac atau Sputnik V (keluaran Gamaleya dari Rusia) dan CoronaVac Suspension for Injection - Sinovac (pengilangan "fill and finish" oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd).

Menurut Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan PBKD.

Beliau berkata, kerajaan juga komited memastikan penduduk dewasa negara mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan. - BERNAMA