Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menititikberatkan perancangan dan pelaksanaan reka bentuk infrastruktur bagi kemudahan penggunaan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Malaysia.

Keperluan itu perlu diberi perhatian kerana masih terdapat beberapa PBT yang belum melaksanakan kemudahan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata, perkhidmatan yang disediakan PBT kepada golongan OKU tidak sepatutnya terhad di kawasan pejalan kaki.

Tambahnya, ia juga perlu dinaik taraf seperti menyediakan ke laluan menuju pusat beli-belah.

Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan berterusan dan perbincangan bersama PBT bagi memastikan spesifikasi yang dilaksanakan itu mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Selepas ini kita akan turun padang lagi ke tempat-tempat yang lain untuk memantau sama ada peruntukan kerajaan seperti dalam undang-undang dan sebagainya telah diikut serta dilaksanakan oleh pihak PBT.

“Semua ini bagi memastikan objektifnya tercapai iaitu bagi membantu semua golongan tersebut dapat menggunakan tempat laluan dan kemudahan-kemudahan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Kebangsaan OKU di sekitar ibu negara pada Selasa.

Sementara itu, kementeriannya akan menubuhkan satu jawatankuasa reka bentuk sejagat dan alam bina bagi menyelesaikan isu aksesibiliti bagi golongan OKU.

Ia membabitkan golongan profesional termasuk jurutera, ahli akademik, wakil PBT, dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerjaan Tempatan (KPKT).

Disamping itu, KPKT melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah mewujudkan garis panduan perancangan reka bentuk sejagat dan menyarankan PBT melantik OKU sebagai ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap perancangan PBT dan menubuhkan Unit Audit Akses di setiap PBT.