PBT perlu tampil bantu penjaja di lampu isyarat - Lee Lam Thye

Rahimah Abdullah
Januari 10, 2021 03:57 MYT
PBT disaran membantu penjaja di lampu isyarat dengan menyediakan tapak perniagaan yang sesuai dan strategik. -Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran membantu penjaja di lampu isyarat dengan menyediakan tapak perniagaan yang sesuai dan strategik.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu bagi mengekang aktiviti berniaga di lampu isyarat yang disifatkan membahayakan keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya.
Menurut Lam Thye, selain lokasi yang strategik, PBT juga disyorkan untuk mengeluarkan lesen perniagaan kepada peniaga kecil-kecilan berkenaan.
"PBT sepatutnya boleh membantu dengan menyediakan tapak perniagaan strategik dan sesuai serta menjaga keselamatan peniaga supaya mereka boleh terus berniaga.
"Jadi apa yang boleh dibuat ialah mengenal pasti sesuatu tempat di bawah bidang kuasa mereka.
"Lokasi sesuai dan strategik di mana peniaga boleh ditempatkan, dan lesen boleh dikeluarkan selain kebersihan boleh dijaga," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Ahad.
Tambahnya, perniagaan di lampu isyarat mungkin menjadi tumpuan peniaga kecil memandangkan lokasinya yang dikatakan strategik dan mudah untuk mereka mempamerkan barangan jualan.
Justeru, isu berkenaan perlu diselesaikan segera bagi mengelak sebarang kejadian diingini daripada berlaku termasuk kemalangan jalan raya.
"Kalau kita tengok penjaja yang meniaga di lampu isyarat, lokasi lampu isyarat itu bukanlah tempat sesuai untuk mana-mana orang berniaga.
"Jadi isu ini boleh diselesaikan segera," ujarnya.
#penjaja #lampu isyarat #Lee Lam Thye #peniaga #Ikatan Komuniti Selamat Malaysia #tapak perniagaan #lesen perniagaan