Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

PDA tidak boleh mengatasi MA63 - Wilfred Yap

Astro Awani 19/08/2025 | 07:37 MYT
Yap menyifatkan kenyataan Azalina itu telah mengelirukan dan menafikan hak perlembagaan serta statut Sarawak terhadap sumber minyak dan gas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang digubal secara unilateral tanpa persetujuan Sarawak tidak boleh mengatasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjamin hak negeri itu ke atas sumber asli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Sau Sin berkata menegaskan perkara berkenaan sebagai reaksi kepada kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen, baru-baru ini.

Yap, yang juga Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), menyifatkan kenyataan Azalina itu telah mengelirukan dan menafikan hak perlembagaan serta statut Sarawak terhadap sumber minyak dan gas.

Jelasnya, kenyataan Azalina yang menyatakan kuasa peraturan Sarawak berpunca daripada “kerjasama komersial” dengan Petronas adalah tidak tepat, kerana hak tersebut sebenarnya berasaskan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

“OMO ialah undang-undang pra-Malaysia yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak dan masih berkuat kuasa, memberikan kuasa penuh kepada Sarawak untuk mengawal selia sumber minyak dan gasnya,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Yap menjelaskan bahawa OMO digubal lebih 15 tahun sebelum PDA, dan mengabaikan fakta ini adalah satu kesilapan dari segi undang-undang serta boleh mengelirukan orang awam.

Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak tidak pernah menyerahkan hak terhadap sumber asli semasa menyertai Malaysia, dan PDA tidak boleh mengatasi peruntukan yang termaktub dalam MA63.

Yap juga menarik perhatian terhadap pengabaian Deklarasi Bersama yang ditandatangani pada 21 Mei 2025 antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, deklarasi tersebut mengiktiraf kuasa Sarawak di bawah OMO 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, serta melantik PETROS sebagai pengagregat gas tunggal di Sarawak berkuat kuasa 1 Mac 2025.

“Petronas boleh meneruskan operasi di Sarawak, tetapi hanya tertakluk kepada kerangka peraturan negeri,” katanya sambil menambah bahawa deklarasi itu adalah sah dan boleh dikuatkuasakan.

Yap menegaskan bahawa kedudukan Sarawak adalah berasaskan undang-undang, bukan konsesi daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan mesti menghormati MA63 dan Deklarasi Bersama Mei 2025. Rakyat Sarawak tidak akan menerima sebarang usaha untuk menafikan atau menghapuskan hak kami yang telah diiktiraf secara sah,” katanya.




#Perjanjian Malaysia 1963 #Azalina Othman Said #Wilfred Yap #minyak dan gas