PDC sambut baik cadangan pelabur mahu laksana projek - Chow Kon Yeow

Bernama
Oktober 7, 2023 11:11 MYT
Chow Kon Yeow berkata PDC telah menyiarkan maklumat di laman webnya berhubung tanah tersedia untuk pembangunan dan pihak yang berminat boleh mengemukakan cadangan mereka. -Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sentiasa mengalu-alukan cadangan daripada pelabur yang berhasrat melaksanakan projek-projek yang mempunyai kesan pemangkin dan memberi impak besar di negeri tersebut.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata PDC telah menyiarkan maklumat di laman webnya berhubung tanah tersedia untuk pembangunan dan pihak yang berminat boleh mengemukakan cadangan mereka.
"PDC melayan setiap kes urus niaga secara berbeza kerana tidak mungkin setiap syarikat mempunyai komponen yang sama malah PDC juga menyambut baik cadangan daripada pelabur yang mempunyai kesan pemangkin.
"Di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP 2), infrastrukturnya berbeza. kawasan tersebut kosong tanpa sebarang infrastruktur. Justeru, setiap kes adalah berbeza tetapi ia adalah melalui rundingan terus.
"Kami menggalakkan pencadang memberi cadangan projek yang diklasifikasikan sebagai pemangkin yang akan memberi impak ketara dan menarik pelaburan lain.
"Apa yang dibangkitkan Aspen Group tidak menjadi isu. Itu hak mereka untuk menjelaskan tetapi sebenarnya ia juga telah dirundingkan dengan terma dan syarat yang berbeza," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Chow berkata demikian bagi mengulas laporan media oleh Aspen Group yang menyatakan bahawa pembelian tanah daripada PDC untuk Aspen Vision City pada tahun 2014 dan rundingan langsung antara PDC dan Aspen Group pada 2013 adalah jauh berbeza serta dalam keadaan yang berbeza.
Menurut laporan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aspen Group Datuk M. Murly berkata ia adalah tidak munasabah dan tidak logik untuk membandingkan rundingan terus antara Aspen Group dan PDC pada 2013 dengan penjualan tanah BKIP 2 baru-baru ini sebagai dua urus niaga pada asasnya berbeza.
PDC baru-baru ini memilih UMECH Construction Sdn Bhd (UMECH) sebagai rakan kerjasama untuk membangunkan tanah seluas 559 ekar di Byram, berhampiran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dalam kawasan BKIP2.
Dalam pada itu, Chow berkata setiap urus niaga melibatkan butiran dan kerjasama yang unik.
Katanya PDC sebelum ini telah bekerjasama dengan Sime Darby Bhd dalam projek melibatkan kos infrastruktur yang tinggi seperti pembinaan jalan raya, jambatan, kemudahan, empangan dan pengisian tanah.
Di Batu Kawan, beliau berkata contoh kerjasama lain termasuk Aspen Group, Design Village dan dua atau tiga lagi yang akan menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PDC untuk pembinaan bandar perubatan serta pusat beli-belah tidak lama lagi.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow #PDC #cadangan daripada pelabur #BKIP 2