BUTTERWORTH: Bergelar anak sulung bukan satu cabaran yang kecil, apatah lagi selepas kehilangan ibu bapa tempat bergantung harap.

Namun, itulah tanggungjawab yang dipikul Nur Afni Nirwana Khairizul, 17, yang perlu memantau pembelajaran tiga daripada empat adiknya selepas ketiadaan ibu bapa mereka yang maut dalam kemalangan dipercayai dilanggar pemandu mabuk pada 9 Februari tahun lalu.

Mereka kini menumpang kasih datuk, Hassan Ismail, 68, dan nenek Asma Laili Muhammad, 58, di Jalan Mohd Saad, Butterworth, Pulau Pinang.

Menurut Nur Afni, selain memberi tumpuan kepada pelajaran sendiri, dia juga perlu membantu pembelajaran tiga daripada empat adiknya iaitu Nur Istna Nadira,15, Nur Erna Nabila, 13, dan Nur Qurratul Ain, lapan tahun mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Seorang lagi adiknya Muhammad Khairi Zafran pula, baru berusia tiga tahun.

"PdPR ni, bagi saya okey walaupun kena kongsi dengan adik, ada yang masuk ada yang tak masuk sebab kena kongsi (komputer riba) kan.

"Kerja sekolah semua okey, mereka buat semua, cuma kena minta bantuan saya," katanya kepada Astro AWANI.

Meskipun begitu, Nur Afni akui, dia lebih gemar hadir ke sekolah secara bersemuka. 

Ketika ini, lima beradik yatim itu berkongsi komputer riba dan komputer peribadi sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli perniagaan yang simpati dengan nasib mereka.

Nur Afni yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan memberitahu ada kalanya dia meminta bantuan adik keduanya, Nur Istna Nadira untuk membantu kerja sekolah dua lagi adiknya.

"Walau apa pun, kena belajar, tak boleh putus asa walaupun ibu dan abah sudah tiada. Arwah pun kata, kena belajar... kena teruskan," katanya lagi.

Pada 9 Februari 2020, bapa mereka, Khairizul Mohamad Noor maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta dipandu seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk dekat susur keluar Prai.

Ibu mereka pula, Zuriana Hassan menghembuskan nafas terakhir selepas dua bulan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.