PdPR: Masalah capaian internet, dua pelajar terpaksa ulang alik 5km

Nur Fazlizai Ali
Jun 26, 2021 09:36 MYT
Sejak PdPR dilaksanakan, Nur Saidatul Akma Mohd Asri dan Nur Ain Hazirah Kamarudin terpaksa menumpang di sebuah pondok untuk mengikuti kelas dan juga mengulangi pelajaran. - Foto Astro AWANI
SETIU: Dua sahabat dari Kampung Ulu Seladang, di sini terpaksa berulang alik lebih 5 kilometer bagi mendapatkan capaian internet setiap kali untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim itu terpaksa keluar dari kediaman kerana capaian internet di kawasan mereka yang lemah.
Bagi Nur Saidatul Akma Mohd Asri dan Nur Ain Hazirah Kamarudin, sejak PdPR dilaksanakan, mereka terpaksa menumpang di sebuah pondok untuk mengikuti kelas dan juga mengulangi pelajaran.
Kata mereka lagi, capaian internet yang lemah itu juga menguji kesabaran apatah lagi banyak ketinggalan dalam sesi pembelajaran tersebut.
“Di kampung tak ada jaringan internet. Jadi kalau hendak buat kerja sekolah, kadang-kadang jaringan internet sangat perlahan, nak isi kedatangan pun tak boleh.
“Jadi kalau kami ada masa lapang, kami datang sini. Sepatutnya Jumaat dan Sabtu rehat di rumah sebab hujung minggu, tetapi kami terpaksa datang sini kerana kalau tangguh lagi, kerja sekolah akan bertambah,” kata Nur Ain Hazirah ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.
Perkara sama turut dilalui Nur Saidatul Akma yang berkata, lazimnya mereka akan menumpang dan berteduh di sebuah pondok berhampiran laluan utama.
Meskipun sukar, namun bagi memastikan tidak tercicir dalam pelajaran, mereka terpaksa melakukannya.
“Kadang-kadang rasa macam putus asa juga sebab kena keluar selalu, baru ada jaringan internet sebab kalau duduk rumah, apa pun tak boleh buat.
“Sepatutnya, pada waktu malam boleh, buat kerja tetapi jaringan sangat perlahan, tak boleh hendak buat kerja… terpaksa la keluar sebab banyak yang akan ketinggalan,” katanya.
Kebiasaannya, dua hingga tiga kali seminggu mereka akan berkunjung ke pondok yang menjadi tempat untuk menuntut ilmu.
Justeru, Nur Ain Hazirah dan Nur Saidatul Akma memohon kepada pihak berkaitan agar memberi perhatian serius terhadap masalah gangguan yang dihadapi kerana banyak urusan penting perlu dilaksanakan menerusi dalam talian.
#pengajaran dan pembelajaran #PdPR #SMK Tengku Ibrahim #pelajaran #jaringan internet #Setiu #masalah PdPR