KUALA LUMPUR : Sesi proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) untuk satu tempoh masa yang lama dikhuatiri boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak khususnya bagi golongan prasekolah.

Menurut Pakar Psikologi Pendidikan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Azlina Mohd Kosnin, proses pembelajaran golongan itu adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang telah memasuki fasa persekolahan sekolah rendah.

“Apabila proses pembelajaran secara bersemuka, mereka bebas bergerak dan bergaul bersama rakan sebaya.

“Ini adalah lumrah kanak-kanak pada peringkat ini yang sememangnya gemar untuk bermain dalam masa yang sama kita tidak boleh mengekang mereka kerana bimbang keinginan mereka untuk belajar akan hilang,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Azlina turut berpandangan kualiti PdPR yang dilaksanakan merupakan faktor penting dalam pelaksanaan kaedah pembelajaran itu selain memerlukan sokongan penuh ibu-bapa di rumah untuk memastikan kejayaannya.

“Kita sebut tentang kualiti PdPR kita perlu melihat kepada faktor guru yang mengajar online dan kerjasama ibu-bapa di rumah.

“Sifat kanak-kanak prasekolah tidak sama seperti kanak-kanak lain yang boleh uruskan diri mereka sendiri, berdikari maka kita perlu lihat perkembangan mereka secara menyeluruh,” katanya lagi.

PdPR sambung, apa nasib kanak-kanak tadika?

Mengulas lanjut, Dr Azlina turut berkata, proses PdPR yang terlalu lama juga perlu dinilai dari segi kesan jangka panjang disebabkan faktor kumpulan itu yang masih belum didedahkan dengan institusi pendidikan yang formal.

Hal ini juga berkemungkinan boleh mendatangkan kesukaran buat golongan itu apabila menjelang peringkat pendidikan yang seterusnya berikutan kurangnya pendedahan terhadap mereka sewaktu berada di peringkat prasekolah.