PdPR: UMP cipta studio berinovasi mudahkan pembelajaran dalam talian

Nursyazwani Saiful Sham, Afiezy Azaman
Januari 27, 2021 02:03 MYT
Proses membangunkan studio itu menelan belanja sebanyak RM10,000 dan telah dimulakan sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama dikuatkuasanakan tahun lepas. - Foto ihsan UMP
KUALA LUMPUR : Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan satu studio berinovasi bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian lebih menarik dan interaktif.
Menurut Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Prof Madya Dr Hamdan Daniyal, PdPR menggunakan studio inovasi ini juga memudahkan kerja tenaga pengajar selain menjimatkan masa.
“Studio yang kami sediakan ini sama dengan studio-studio lain dan ia bertujuan untuk memudahkan proses PdPR.
“Malah ia juga bagi memudahkan pensyarah untuk menghasilkan studio lebih menarik dan lebih pantas. Dalam kita bercakap berkenaan proses pantas, ia agak menarik. Apabila berlakunya penularan COVID-19, semua agak terkejut.
“Jadi macam-macam yang kita lakukan dan kita fikirkan bagi memastikan pelajar ini terus mendapat pembelajaran. Pelbagai pihak berbicang jadi timbul kesedaran perlunya satu studio begini,” jelasnya menerusi temu bual dalam AWANI Pagi pada Rabu.
Dalam pada itu, ujarnya, penggunaan alat digital dalam pengajaran dan cara membangunkan kandungan digital termasuklah penggunaan video-video dan penggunaan platform bagi berinteraksi antara pelajar dan pensyarah amat penting.
Pihaknya menyedari kesukaran dan rasa kekok segelintir pensyarah mengajar di hadapan kamera ditambah bagi subjek teknikal penggunaan makmal, justeru penggunaan lightboard memudahkan perkara tersebut.
Selain itu, kata Hamdan proses penghasilan video secara konvensional memakan masa dan rumit justeru itu, studio inovasi ini boleh memendekkan tempoh penghasilannya tanpa memerlukan kemahiran penyuntingan video.
Jelasnya, studio tersebut lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti lightboard, layar hijau, tablet, kamera berkualiti tinggi serta hdmi switcher.
Proses membangunkan studio itu menelan belanja sebanyak RM10,000 dan telah dimulakan sejak pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan pertama dikuatkuasanakan tahun lepas.
Ikuti temu bual penuh bersama Prof Madya Dr Hamdan Daniyal berkenaan studio berinovasi ini di bawah;
AWANI Pagi: Studio invovasi bukti kreativiti pendidik
#COVID-19 #pengajaran dan pembelajaran #perintah kawalan pergerakan #PdPR #UMP #Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik #Prof Madya Dr Hamdan Daniyal